Orang ramai menggunakan pelitup muka di tempat awam bagi mengawal penularan Covid-19 ketika tinjauan di sekitar Kuala Lumpur pada 3 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kes positif Covid-19 Malaysia turun kepada 1,555

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Kes baharu positif Covid-19 di negara ini dalam tempoh 24 jam lepas menurun kepada 1,555 berbanding 1,828 semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya perkembangan terbaharu itu menjadikan kes terkumpul positif Covid-19 di Malaysia berjumlah 304,135 dengan kes aktif sebanyak 24,563.

Beliau berkata daripada jumlah kes baharu berkenaan, tiga adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala 1,552 kes melibatkan penularan dalam negara.

“Kes import melibatkan tiga bukan warganegara manakala kes tempatan membabitkan 1,108 warga negara dan 444 bukan warga.

“Kes sembuh harian pula mencatat 2,528 kes, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang sembuh setakat hari ini sebanyak 278,431 kes,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 204 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 96 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Beliau berkata enam kematian pula dilaporkan hari ini melibatkan lima warga tempatan dan seorang bukan warganegara.

Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi sebanyak 672 kes, diikuti Johor 163 kes dan Sarawak 159 kes, katanya.

Sementara itu, beliau berkata tujuh kluster baharu dikesan hari ini dengan enam membabitkan penularan di tempat kerja manakala satu kluster melibatkan kumpulan berisiko tinggi.

Kluster baharu tempat kerja yang direkodkan ialah di Taman Alam (Selangor), Sementa 27 (Selangor), Jalan Mawar (Selangor), Jalan DBP Enam (Johor), Jalan Cyber Satu (Johor), Persiaran Bayan Indah (Pulau Pinang) dan satu kumpulan berisiko tinggi di Jalan Bukit Blossoms, Negeri Sembilan.

Dr Noor Hisham berkata perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kluster kini ialah 1,152 dengan 489 kluster aktif.

Katanya enam kluster diisytihar tamat hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kluster yang tamat ialah 663.

Enam kluster yang diisytihar tamat hari ini ialah kluster Jalan Kluang; kluster Taman Sejahtera; kluster Jalan Labuk; kluster Jalan Ragum, kluster Industri Indah dan kluster Jalan Mega.

– BERNAMA


Pengarang :