Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra dengan peniaga Program Pahlawan Bebas Plastik di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 10 Mac 2021. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kesedaran rakyat tinggi, bebas plastik jadi budaya

SHAH ALAM, 10 MAC: Kajian Merdeka Center di Selangor pada Disember tahun lalu mendapati kesedaran umum rakyat terhadap kempen bebas plastik adalah tinggi.

Dato’ Menteri Besar berkata tahap kesedaran sehingga 88 peratus itu menunjukkan kempen berkenaan sudah menjadi satu budaya dalam kalangan masyarakat.

“Peringkat awal kita laksana pada 2008 dan dikuatkuasa pada 2013 dianggap santai serta ringan malah turut ditertawakan namun selepas dijalankan berterusan juga konsisten hasilnya kini dapat dilihat,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pahlawan Bebas Plastik di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Katanya, bagaimanapun diakui terdapat cabaran baru dalam situasi pandemik Covid-19 apabila segala urusan kini dilakukan dalam talian.

“Pembungkusan memerlukan bekas tetapi adakah bahan diguna itu polisterin, plastik atau kitar semula. Namun saya percaya ada syarikat e-panggilan meletakkan syarat ketat tidak membenarkan penggunaan plastik,” katanya.

Selangor mula mengharamkan penggunaan beg plastik pada setiap Sabtu sejak 2009 dan bermula Januari 2017 kempen itu kemudiannya dipanjangkan kepada tujuh hari seminggu.


Pengarang :