Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua Komuniti India (KKI) di Ballroom, Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Shah Alam. Foto Facebook Ganabatirau Veraman
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Ketua Komuniti India diingat guna dana tahunan secara berhemah

SHAH ALAM, 10 MAC: Ketua Komuniti India (KKI) yang baharu dilantik diingatkan supaya menggunakan peruntukan tahunan secara berhemah untuk menjalankan aktiviti kemasyarakatan.

EXCO Kerajaan Prihatin V Ganabatirau berkata dana RM10,000 perlu diurus sebaik mungkin bagi memastikan tiada kelompok terpinggir khususnya mendepani pasca pandemik Covid-19.

“Lantikan mereka datang dengan amanah dan tanggungjawab, jadi jangan anggap ia sebagai hadiah kerana harus sedar segala pelantikan akan diperhati oleh ramai pihak terutama melibatkan aspek kewangan.

“Saya mohon muka-muka baharu ini guna peruntukan diberi Kerajaan Negeri dengan berhati-hati selain mengekalkan prinsip akauntabiliti yang tinggi,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan watikah pelantikan kepada 50 KKI sesi 2021-2022 di Dewan Jubli Perak, SUK di sini semalam.

Sementara itu, beliau berkata ketua komuniti perlu menjadi perantara dalam menyalurkan maklumat berkaitan inisiatif kerajaan selain berperanan membawa isu masyarakat setempat.

“Mereka harus ambil kesempatan ini untuk menjelaskan kepada masyarakat jenis bantuan kesihatan, pendidikan dan kebajikan yang diperkenal Kerajaan Negeri mahupun kerajaan pusat.

“Mungkin dalam kalangan kami (wakil rakyat) sendiri kurang faham sistem bantuan berbeza yang diwujudkan, tetapi jika ketua komuniti ini lebih memahami, mereka boleh bantu,” katanya.


Pengarang :