Orang awam keluar dari Masjid Jamek Al-Amaniah, Batu Caves selepas menunaikan solat Jumaat pada 26 Jun 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Khutbah Jumaat: Bersatu lindungi Islam, jangan permain isu murtad

SHAH ALAM, 19 MAC: Umat Islam di seluruh negara diminta bersatu melindungi agama daripada individu atau kumpulan yang cuba mempermainkan isu murtad.

Memetik khutbah Jumaat bertajuk ‘Berhati-hati dengan ucapan murtad’, perkara berkenaan perlu dipandang serius bagi memastikan Islam terus dipandang tinggi.

“Jangan jadikan murtad sebagai isu politik sebaliknya ia isu seluruh umat Islam yang cintakan agama. Setiap individu berperanan mengatur strategi mengikut kemampuan masing-masing bagi memastikan Islam terpelihara dari unsur negatif,” menurut khutbah itu.

Teks diterbitkan Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor mengingatkan ucapan murtad tidak wajar dijadikan kontroversi demi populariti atau simpati kerana ia dianggap sensitif.

Jelasnya, tindakan itu bukan sahaja memberi kesan besar kepada penutur malah kepentingan Islam, agama dan negara yang dikhuatiri boleh menggugat keharmonian masyarakat.

Pada akhir khutbah, umat Islam diseru menyakini Islam adalah ajaran benar yang membawa kesejahteraan dan wajib dipelihara keharmoniannya serta kemurniaan iman.

“Umat Islam juga perlu sedar iman adalah kurniaan Allah kepada hamba terpilih yang tiada tolok banding nilainya dengan harta seisi dunia,” menurut khutbah itu.

Pada Selasa, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menzahirkan rasa amat dukacita dengan sikap segelintir umat Islam yang mengeluarkan kata-kata yang dibimbangi boleh menjejaskan akidah.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berpesan apa jua hasrat, percakapan atau perbuatan untuk
meninggalkan Islam dikhuatiri boleh merosakkan asas kepercayaan agama.


Pengarang :