Suasana kilang kitar semula plastik terpakai di Shah Alam yang didapati melakukan aktiviti tanpa kelulusan pihak Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA). Foto: Jabatan Alam Sekitar Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kilang kitar semula plastik sebabkan pencemaran udara didenda RM75,000

SHAH ALAM, 5 MAC: Kilang kitar semula plastik di Shah Alam didenda RM75,000 kerana menjalankan aktiviti tanpa kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA).

Pengarah Jabatan Alam Sekitar Selangor (JAS) berkata pemilik syarikat juga didapati gagal mengemukakan notis punca pencemaran udara.

“Hakim Rofiah Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap pengarah syarikat berusia 47 tahun yang hadir di mahkamah hari ini, tertuduh mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan berkenaan.

Suasana kilang kitar semula plastik terpakai di Shah Alam yang didapati melakukan aktiviti tanpa kelulusan pihak Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA). Foto: Jabatan Alam Sekitar Selangor

“JAS sentiasa mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi kepada penjenayah alam sekitar. Terima kasih kepada orang awam yang membantu beri maklumat mengenai aktiviti yang mencemarkan alam sekitar,” kata Nor Aziah Jaafar dalam kenyataan.

Menurut pertuduhan pertama pada 16 Ogos 2019, syarikat tersebut didapati menjalankan aktiviti tersebut tanpa kelulusan Laporan EIA seperti di bawah Seksyen 34A(2), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Manakala, pertuduhan kedua mereka gagal kemuka pemberitahuan bertulis kepada ketua pengarah mengenai punca pencemaran udara mengikut Peraturan 5(1)(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.

JAS menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam atau emel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.


Pengarang :