Petugas kesihatan Selcare memasukkan sampel ujian pada program Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan Melati, Shah Alam pada 20 Februari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kit ujian rapid Covid-19 beri keputusan dalam dua minit dibangunkan

KUALA LUMPUR, 17 MAC: NanoMalaysia Berhad sedang membangunkan kit ujian rapid Covid-19 yang mampu memberi keputusan status seseorang individu sama ada dijangkiti virus berkenaan atau tidak dalam masa dua minit.

Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia Berhad Dr Rezal Khairi Ahmad berkata dengan penggunaan alat berkenaan lebih banyak sektor ekonomi akan dapat dibuka sekali gus dapat menjana kembali ekonomi negara dan pendapatan rakyat.

“Kit ujian ini menggunakan ‘gold metal particle’ yang boleh memberi keputusan sama ada seseorang itu dijangkiti virus Covid-19 dalam masa hanya dua minit …melalui tempoh ini, ia amat berkesan untuk digunakan di sektor pembuatan dan sektor ekonomi lain yang menggunakan ramai pekerja.

“Dengan kit ujian ini, pekerja yang didapati negatif boleh dibenarkan bekerja manakala pekerja yang mendapat keputusan positif boleh diarahkan untuk menjalani ujian swab Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel pada forum anjuran Expert Consultation “Covid-19: Islamic Responses” anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) secara dalam talian hari ini.

Turut menjadi ahli panel forum berkenaan antaranya adalah, Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa, Prof Dr Ainul Jariah Maidin, Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Starategik Tourism Malaysia Iskandar Mirza Mohd Yusof dan Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Noriah Haron.

Sementara itu Pengerusi Ikim, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dalam ucapan aluannya berkata Ikim menerbitkan dua buku yang mengumpulkan penulisan para penyelidik Ikim mengenai pandangan Islam dalam pengurusan wabak yang disiarkan dalam akhbar sepanjang tahun lepas.

Buku bertajuk ‘Islam dan Wabak: Pengajaran daripada Covid-19’ dan ‘Islam and Pandemics: Lessons from Covid-19’ itu diharapkan dapat membantu menyebarkan kefahaman tentang pandangan Islam terhadap pengurusan wabak yang sedang melanda negara kini.

– BERNAMA


Pengarang :