Siti Hadibah Muhamad, 37, gembira menerima sumbangan keperluan asas dalam suatu majlis di Parit 10 Timur, Sabak Bernam pada 9 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Kita Selangor: Lebih 40,000 dapat manfaat dana wakil rakyat

SHAH ALAM, 24 MAC: Seramai 41,104 individu menerima manfaat peruntukan khas wakil rakyat yang disalur Kerajaan Selangor setakat 15 Mac.

Dalam laporan mingguan kemajuan 20 inisiatif Pakej Kita Selangor, Unit Perancang Ekonomi Negeri memaklumkan bilangan penerimanya meningkat berbanding 34,903 orang pada 8 Mac.

“Perbelanjaan peruntukan Ahli Dewan Negeri berjumlah RM2.07 juta membabitkan 351 program dengan jumlah penerima seramai 35,345 orang manakala ahli parlimen pula RM355,277 dengan pelaksanaan 65 program serta 5,759 penerima.

“Peruntukan khas sebanyak RM100,000 disalurkan untuk setiap ADN atau penyelaras kawasan dewan undangan negeri dan RM50,000 kepada ahli parlimen bagi disumbangkan kepada masyarakat,” kata laporan tersebut.

Peniaga Takoyaki Khalid Idris, 56, menyiapkan tempahan pelanggan di Pusat Penjaja Dataran Puchong Prima, Puchong pada 17 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Selain itu, sebanyak 123 permohonan Skim Niaga Darul Ehsan (NaDI) dengan pembiayaan RM457,000 diluluskan Yayasan Hijrah Selangor.

“Sehingga kini, sebanyak 189 lagi permohonan minat bagi skim ini yang kesemuanya sedang diproses oleh cawangan,” kata laporan tersebut.

Dalam tempoh tersebut, tujuh daripada 20 inisiatif Pakej Kita Selangor diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berjaya diselesaikan.

Berikut kemajuan lain dalam pakej berkenaan:

  • Seramai 5,904 orang disaring dalam program Saringan Komuniti bersasar Covid-19 membabitkan perbelanjaan RM549,072
  • Inisiatif cakna anak barisan hadapan membabitkan 12 pusat asuhan di hospital awam menempatkan 438 kanak-kanak daripada 334 keluarga.
  • Seramai 5,126 orang termasuk 158 individu dari negeri lain mendaftar Portal Tuisyen Rakyat Selangor. Portal itu turut mendapat tontonan tanpa daftar lebih 30,845
  • Yayasan Hijrah Selangor menyasarkan 100 bakal usahawan menyertai skim pembiayaan Go Digital menjelang hujung Mac
  • Kutipan Tabung Covid-19 kekal RM2.6 juta

 


Pengarang :