Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menasihati pengguna tidak melakukan pembelian panik telur sehingga mengganggu bekalan di negara ini, susulan laporan penarikan balik telur keluaran sebuah syarikat Malaysia daripada pasaran Singapura. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM analisis ratusan sampel telur tercemar

SHAH ALAM, 15 MAC: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan pemeriksaan lanjut terhadap ladang pengeluaran telur di Jeram, Kuala Selangor berikutan penemuan bakteria.

Pengarah kanan keselamatan dan kualiti makanannya berkata daripada 364 sampel telur ayam yang dianalisis, hanya dua daripadanya mengandungi Salmonella Enteritidis (SE), lapor Berita Harian.

“KKM mengambil maklum isu penarikan balik telur ayam keluaran Malaysia dari pasaran Singapura kerana dicemari bakteria SE seperti yang dilaporkan Agensi Makanan Singapura (SFA) Jumaat lalu.

“Laporan berkenaan juga menyatakan pihak SFA sudah mengarahkan telur ayam terbabit ditarik balik kerana dikesan tercemar dengan bakteria SE,” katanya.

Mohd Salim berkata SE hadir melalui pencemaran silang najis ayam atau semasa pembentukan telur jika jangkitan berlaku terhadap tisu pembiakan ternakan terbabit.

Jelasnya, pengendalian tidak sempurna boleh menyebabkan keracunan makanan (Salmonellosis) dan mengalami gejala seperti demam, kekejangan perut dan cirit-birit.

“Jika ragu-ragu dengan status keselamatan makanan di pasaran tempatan, pengguna boleh membuat laporan kepada pejabat kesihatan daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat,” katanya.

Kelmarin, Singapura mengarahkan empat pengimport untuk menarik balik pasaran telur yang dihasilkan Lay Hong Berhad Layer Farm di Jeram, sebagai langkah berjaga-jaga.

 


Pengarang :