Petugas kesihatan melakukan persiapan bagi proses ujian saringan Covid-19 kepada orang ramai yang hadir membuat ujian saringan bersasar ketika tinjauan di Klinik Kesihatan Membedai Labuan. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM kesan 14 lagi kluster baharu, lima di Selangor

SHAH ALAM, 4 MAC: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti 14 kluster baharu dan lima daripadanya di Selangor yang semuanya membabitkan tempat kerja.

Ketua pengarah kesihatan berkata kluster Industri Subang melibatkan Petaling, Klang dan Kuala Selangor yang dilaporkan positif bermula 7 Februari.

Tan Sri Dr Noor Hisham menjelaskan kes kluster terbabit dikesan hasil saringan bersasar sebuah kilang di Jalan Batu Tiga Lama, Taman Perindustrian Subang Utama, Shah Alam.

“Sejumlah 171 individu disaring dan 47 kes dikesan positif dalam kluster ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata kluster Lagenda Suria di Hulu Langat dikesan hasil saringan bersasar pekerja sebuah pasar raya di Jalan Hulu Langat, Cheras dengan 31 individu positif daripada 63 individu yang disaring.

“Kluster Jalan Bukit Tiga pula melibatkan Hulu Langat yang dikesan hasil saringan bersasar pekerja sebuah kilang di Kawasan Perusahaan Bukit Angkat, Kajang. Seramai 14 individu positif daripada 140 yang disaring.

“Kluster Jasmine Empat di Hulu Selangor dikenal pasti hasil saringan bersasar pekerja sebuah kilang di Bukit Beruntung dengan 17 kes positif daripada 351 yang disaring,” katanya.

Tambahnya, kluster Jalan Damansara melibatkan Petaling yang dikesan hasil saringan bersasar pekerja sebuah pusat beli-belah dan 11 individu positif setakat ini.

Sembilan kluster lain dalam negara meliputi:

1. Kluster Tapak Bina Queens Waterfront – kluster tempat kerja melibatkan Barat Daya dan Timur Laut, Pulau Pinang

2. Kluster Jalan Distripark B6 – kluster tempat kerja melibatkan Johor Bahru, Johor

3. Kluster Batu 21 – kluster tempat kerja melibatkan Kulai dan Johor Bahru, Johor

4. Kluster Persiaran Kempas Baru – kluster kumpulan berisiko tinggi melibatkan Johor Bahru, Johor

5. Kluster Jalan Kabel Gemilang – kluster tempat kerja melibatkan Johor Bahru, Johor

6. Kluster Jalan Maju Satu – kluster tempat kerja melibatkan Johor Bahru, Johor

7. Kluster Jalan Limau Manis – kluster komuniti melibatkan Kluang dan Johor Bahru, Johor

8. Kluster Jalan Kebun Nenas – kluster tempat kerja melibatkan Seberang Perai Tengah dan Selatan, Pulau Pinang

9. Kluster Tapak Bina Nilam Sari – kluster tempat kerja melibatkan Seremban, Negeri Sembilan


Pengarang :