Petugas kesihatan Selcare memasukkan sampel ujian pada program Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 21 Mac 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KKM kesan satu kluster baharu babit tempat kerja di Selangor

SHAH ALAM, 29 MAC: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu kluster baharu Covid-19 di Selangor hari ini membabitkan tempat kerja.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster Seksyen 16 tercetus di Hulu Langat dan Sepang.

Menurutnya, kes indeks ke-327,393 kluster terbabit dilapor positif wabak pada 18 Mac lalu hasil saringan kontak rapat.

“Kluster ini membabitkan sebuah pusat pendidikan yang terletak di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi.

“Sehingga hari ini, sejumlah 322 individu disaring dengan 18 kes dikesan positif Covid-19,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Dr Noor Hisham, sebanyak 1,350 kluster dilaporkan setakat ini, 977 kluster tamat manakala 373 lagi kluster aktif.

Berikut perincian dua kluster lain dalam negara:

1. Kluster Jalan Azlan – Kluster tempat kerja melibatkan Kepong dan Titiwangsa, Kuala Lumpur serta Kuala Langat, Selangor

2. Kluster Taman Vistagro – Kluster komuniti melibatkan Sri Aman, Sarawak

 


Pengarang :