Petugas Kesihatan Selcare melakukan saringan Covid-19 ketika Saringan Komuniti di Dewan Serbaguna MPSJ, Seri Kembangan, Serdang pada 6 Mac 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KKM lulus lebih 400 permohonan pengembara jalani kuarantin di rumah

SHAH ALAM, 30 MAC: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meluluskan 409 daripada 2,743 permohonan untuk menjalani kuarantin wajib di kediaman sejak Januari hingga 27 Mac lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata kelulusan berdasarkan penilaian risiko jangkitan Covid-19 menggunakan kriteria yang ditetapkan.

“Kriterianya termasuklah bukti pengembara telah mengambil vaksin Covid-19 yang lengkap dan mereka dari negara yang berisiko rendah.

“Selain itu, mereka mempunyai kediaman yang bersesuaian untuk kuarantin termasuk tiada risiko jangkitan kepada ahli keluarga atau individu serumah serta keputusan ujian Covid-19 yang negatif,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan pada 12 Mac lalu, KKM memutuskan penilaian risiko perlu dijalankan terhadap pengembara yang telah menjalani imunisasi lengkap dan memohon untuk pengecualian kuarantin di stesen kuarantin.

Dr Noor Hisham berkata pengembara yang memenuhi kriteria akan diberi kelonggaran untuk menjalani kuarantin wajib di rumah namun tertakluk kepada syarat kuarantin yang ditetapkan kerajaan.

“KKM akan terus memantau perkembangan jangkitan Covid-19 dalam dan luar negara di mana saringan dalam kalangan pengembara diteruskan di semua pintu masuk antarabangsa,” katanya.


Pengarang :