DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menandatangani plak kunjungan mesra baginda ke Wisma Kohijrah di Seksyen 32, Shah Alam pada 25 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kohijrah Mall raih RM10,000 dalam tempoh empat bulan

SHAH ALAM, 26 MAC: Sebanyak RM10,000 hasil pendapatan diterima Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah) menerusi pelaksanaan Kohijrahmall.com.

Pengurus Besar Kohijrah, Mohd Syukri Ismail berkata pasaran secara dalam talian itu menerima sambutan memberangsangkan sejak ditubuhkan pada Disember tahun lalu.

“Tercetusnya idea Kohijrahmall.com ini sejak Covid-19 melanda yang mana orang ramai tidak boleh keluar  disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Justeru, kita digitalisasikan agar semua produk usahawan tempatan ini boleh dipasarkan dan Alhamdulillah sambutan cukup baik apabila bukan sahaja tempahan dalam Selangor sebaliknya luar dari negeri ini juga turut membeli,” kata Mohd Syukri.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas kunjungan mencemar duli, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah ke Wisma Kohijrah di sini semalam.

Mengulas kerjasama Kohijrah dan Say Lead, Mohd Syukri berkata beliau menyambut baik dan bersedia membantu usahawan orang kelainan upaya (OKU).

“Produk usahawan Say Lead ini akan dimasukkan ke platform digital Kohijrah secara percuma, kita akan bantu mempromosi jualan mereka.

“Saya juga menyeru usahawan atau mereka yang mahu mula berniaga sertai Kohijrah kerana kita sediakan pembiayaan bersama Yayasan Hijrah Selangor yang amat membantu dalam perniagaan mahupun musibah,” katanya lagi.


Pengarang :