Dato’ Seri Amirudin Shari mendengar taklimat wakil pengurusan kilang ketika pelancaran Program Pencegahan Penularan di Kawalan Titik Panas (POIS) di Kilang Nestle, Shah Alam pada 22 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lagi kilang sertai sistem cegah Covid-19

SHAH ALAM, 8 MAC: Sebuah kilang sarung tangan getah terkenal di negeri ini mendaftar sistem Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) bagi mengurangkan kadar jangkitan Covid-19.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sistem yang dimulakan awal Februari dapat membantu kilang tersebut membendung kes positif tanpa menghentikan operasi.

“Kita dapati berlaku peningkatan kes di kilang berkenaan dua hingga tiga hari lalu, buat masa ini sistem POIS sudah masuk di sana dan kita harap dapat mengawal wabak,” katanya.

Beliau yang ditemui selepas merasmikan sambutan Hari Wanita peringkat negeri turut menggesa lebih banyak kilang mendaftar dengan sistem berkenaan bagi mencegah penularan Covid-19.

Pada 6 Januari, Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) melancarkan POIS bagi mencegah dan mengurangkan kluster tempat kerja.

Majikan mendaftar perlu menubuhkan jawatankuasa terdiri daripada beberapa kumpulan kecil dengan fungsi berbeza yang berperanan mengenal pasti kawasan dan aktiviti berisiko tinggi.

Aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) pula merekodkan pergerakan keluar masuk pekerja dan memantau komponen POIS serta menganalisis risiko pekerja bagi menyelaraskan kekerapan saringan.

Antara syarikat yang menyertai POIS ialah kilang Nestle di Seksyen 15 dan Celestica Malaysia di Johor dan Kedah.


Pengarang :