Antara peserta yang hadir perhimpunan secara aman di hadapan parlimen bagi menuntut hak individu 18 tahun mengundi. Foto Facebook Pengarah Pilihanraya Pemuda Amanah Nasional Asmaaliff Abdul Adam
AGENDANASIONAL

Langgar SOP: Keluarga Neelofa, penganjur himpunan tuntut Undi 18 beri keterangan

KUALA LUMPUR, 30 MAC: Polis mengambil keterangan daripada keluarga selebriti tempatan terkenal, Neelofa dan penganjur Himpunan Tuntut Undi 18 yang didakwa melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Covid-19.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata susulan dakwaan majlis perkahwinan selebriti itu tidak mematuhi SOP, lima individu termasuk ahli keluarga Neelofa dan penganjur majlis tersebut tampil memberi keterangan.

Ahad lepas, majlis perkahwinan Neelofa, 32, dan pendakwah bebas Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz, 26, yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara didakwa tidak mengikut SOP serta tiada penjarakan fizikal.

Mohamad Zainal berkata penganjur Himpunan Tuntut Undi 18 turut hadir hari ini untuk memberi keterangan berhubung perhimpunan yang diadakan bagi membantah keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan isu had umur kelayakan mengundi 18 tahun.

“Seramai lapan individu termasuk penganjur dan peserta perhimpunan itu telah hadir bagi memberi keterangan hari ini,” katanya kepada Bernama.

Antara yang hadir ialah bekas menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad dan Ahli Dewan Undangan Negeri Ketari Young Syefura Othman.

Sabtu lepas, kira-kira 200 peserta terdiri daripada golongan mahasiswa dan badan bukan kerajaan (NGO) mengadakan perhimpunan itu di hadapan bangunan Parlimen di sini.

Siasatan kedua-dua kes dijalankan mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) 2021.

Mohamad Zainal berkata bagi Himpunan Tuntut Undi 18, siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 iaitu mengadakan perhimpunan tanpa notis.

-BERNAMA


Pengarang :