Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) ketika melawat Stesen Transit Kuarantin Nestle (QTS) di Hotel Pegasus, Seksyen 15, Shah Alam pada 4 Mac 2021. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Langkah Nestle buka stesen kuarantin bukti kerjasama awam, swasta

SHAH ALAM, 4 MAC: Langkah Nestle (Malaysia) Berhad mewujudkan Stesen Transit Kuarantin Covid-19 adalah bukti kejayaan kerjasama sektor awam dan swasta, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha menyediakan ruang kuarantin pesakit wajar menjadi contoh kepada semua syarikat untuk menangani impak penularan wabak.

“Kerajaan Negeri mengalu-alukan agar lebih banyak syarikat menawarkan kerjasama agar kita dapat memenangi peperangan menentang Covid-19,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Hari ini Nestle melancarkan Stesen Transit Kuarantin Nestle di Hotel Pegasus di sini, bagi menyokong usaha Kementerian Kesihatan Malaysia mengendali kontak rapat pesakit.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Juan Aranols berkata kos stesen transit ditanggung sepenuhnya syarikat dengan memberi tumpuan kepada golongan berpendapatan rendah.

Pada 22 Februari, Kerajaan Negeri menyerahkan sijil pengiktirafan kepada Nestle yang juga kilang terawal memenuhi kriteria pencegahan Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS).

Program pencegahan wabak yang diperkenalkan Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) meliputi penggunaan platform Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), penubuhan jawatankuasa terdiri daripada beberapa kumpulan kecil dengan fungsi berbeza dan rejim ujian pengesanan awal.

Inisiatif itu turut melibatkan Kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Selgate Corporation Sdn Bhd, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).


Pengarang :