Kerja-kerja mengawal kebakaran dilakukan anggota bomba di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, Kuala Langat pada 2 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Larangan pembakaran terbuka, pelaku boleh didenda RM500,000

SHAH ALAM, 9 MAC: Tindakan tegas bakal dikenakan terhadap mana-mana pihak yang membuat pembakaran terbuka di negeri ini terutama ketika cuaca panas dan kering.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata denda maksimum RM500,000 atau hukuman penjara atau kedua-duanya boleh dijatuhkan jika sabit kesalahan.

“Selangor diisytihar sebagai kawasan larangan pembakaran terbuka oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mengelakkan kerosakan alam sekitar, justeru rakyat Selangor diingat untuk melaporkan kepada bomba atau JAS sekiranya menjumpai sebarang kes,” tulisnya di Facebook hari ini.

Laporan boleh dibuat kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di talian 999 dan JAS
1-800-88-2727 atau melalui eAduan di laman sesawang https://eaduan.doe.gov.my

Berkuat kuasa 3 Mac, seluruh Selangor, Johor dan Pahang diisytihar sebagai kawasan larangan pembakaran terbuka mengikut Seksyen 29AA(2) Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2001.

Berikutan itu, semua pihak dilarang melakukan perkara tersebut atau membiarkan tanah atau premis mereka dimasuki atau dicerobohi sehingga menyebabkan pembakaran terbuka bagi tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.

Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan.

Pada 1 Mac, JBPM Selangor mengenal pasti kebakaran di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan membabitkan kawasan seluas 40.469 hektar meliputi lapan kompartmen.

Foto Facebook Amirudin Shari

 


Pengarang :