Ng Sze Han ketika ditemu bual Media Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 16 Mac 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lebih 200 kilang plastik kitar semula haram di Selangor ditutup

SHAH ALAM, 17 MAC: Lebih 200 kilang plastik kitar semula haram ditutup di Selangor dalam tempoh program pemutihan sejak Oktober 2019 hingga Disember lalu.

Ng Sze Han memaklumkan Kerajaan Negeri berpendirian tidak mengalakkan aktiviti import plastik bagi tujuan pemprosesan.

Namun kata EXCO kerajaan tempatan terdapat kira-kira 100 kilang yang dibenarkan berbuat demikian di Selangor dengan skala kerja dibenarkan adalah kecil.

“Kita tidak tutup semua kilang kitar semula plastik kerana ia masih diperlukan bagi bahan tempatan. Kita hanya benarkan kilang kitar semula plastik tempatan dan bukannya diimport.

“Walaupun dibenarkan ia perlu mengikut syarat ketat Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya ketika ditemui di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Jelasnya, terdapat juga kilang dibenarkan mengimport plastik namun jumlahnya kecil dan syarikat itu perlu mempunyai permit import (AP) sah dan bukannya ejen mana-mana pihak.

Sementara itu, mengulas mengenai jenis kilang yang tidak dibenarkan beroperasi kerana berada di luar zon industri, Sze Han berkata ia bergantung kepada aktiviti dijalankan kilang berkenaan.

“Contohnya kilang kayu berada berdekatan kawasan perumahan. Sudah tentu ia tidak dibenarkan dan kilang terbabit perlu mencari lokasi lain dibenarkan beroperasi,” katanya.

Beliau dalam pada itu beliau turut memaklumkan menjadi kesalahan bagi premis dan kilang menjalankan aktiviti di kawasan berdekatan sungai.

“Ia adalah pencerobohan kerana di tebing sungai hampir semuanya adalah milik kerajaan kecuali yang mempunyai geran,” katanya.


Pengarang :