Bong Siew Lan (kanan) menerima cek bernilai RM5,000 dari Tabung Bantuan Ihsan Kematian Covid-19 di kediamannya di Labuan, Sabah pada 13 Mac 2021. Foto BERNAMA
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Lebih 50 tahun bersama, Covid-19 pisahkan pasangan warga emas

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 16 MAC: Pada 3 November 2020, dunia Bong Siew Lan, 66, menjadi gelap setelah suaminya meninggal dunia akibat jangkitan virus Covid-19.

Suami wanita warga emas itu, Foo Kok Meng meninggal dunia di Hospital Labuan di sini, kira-kira dua bulan sebelum sempat menyambut hari lahir ke-66 tahun.

Pemilik kedai kopi itu bergantung kepada alat bantuan pernafasan (ventilator) ketika dirawat di dalam wad hospital berkenaan pada Oktober 2020, setelah disahkan positif Covid-19.

Ketika itu, Siew Lan, juga perlu menjalani tempoh kuarantin sebaik sahaja suaminya dimasukkan ke hospital. Siew Lan bagaimanapun didapati negatif daripada jangkitan Covid-19.

“Saya tidak menyangka bahawa salah seorang daripada kami harus hidup sendirian begitu awal,” katanya kepada Bernama Jumaat lepas, semasa Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Labuan Rithuan Ismail berkunjung ke rumah untuk menyerahkan cek bernilai RM5,000 dari Tabung Bantuan Ihsan Kematian Covid-19.

Kok Meng merupakan antara 1,210 mangsa yang meninggal dunia akibat Covid-19, di Malaysia setakat 14 Mac.

Sejarah jangkitan Covid-19 Kok Meng dikatakan bermula setelah beliau mengalami gejala batuk apabila pulang mengundi dalam Pilihan Raya Negeri Sabah pada 26 September tahun lepas.

Apabila keadaan batuknya semakin teruk, adik Siew Lan, iaitu Ah Kam, 59, memaksa Kok Meng yang keberatan untuk mendapatkan rawatan itu masuk ke dalam kereta, lantas membawanya ke klinik swasta, sebelum menghantarnya ke hospital.

Pada 26 Oktober, pihak hospital memberitahu Siew Lan bahawa suaminya disahkan Covid-19.

Suaminya mengalami masalah pernafasan dan keadaan dirinya bertambah teruk dan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada mesin ventilator.

Hati siapa yang tidak sedih apabila suami yang sedang menderita sakit, tidak dapat disentuh atau berada di sampingnya.

Begitulah nasib yang dialami Siew Lan yang terpaksa akur kerana mematuhi prosedur operasi standard bagi mengekang penularan Covid-19. Lebih menyedihkan, kesemua empat anak pasangan itu bekerja di Singapura.

Kini, Siew Lan hidup sendirian di rumah. Kadangkala beliau merenung pada katil dan meja makan yang kosong. Setiap sudut di dalam rumah itu mengimbau kembali kenangan indah Siew Lan bersama-sama suaminya.

Memori itu membuatkanya terasa begitu pilu.

“Pada waktu malam, terasa amat sunyi. Saya tidak pernah tidur bersendirian sejak lebih 50 tahun lalu,” katanya.

Hakikatnya, bantuan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dapat mengurangkan beban penerima, namun ia tidak semestinya membawa kebahagiaan.

Siew Lan merupakan penerima kedua dana bantuan Covid-19 itu dan menurut Rithuan, penerima (warga Malaysia) seterusnya akan dilakukan secara berperingkat.

-BERNAMA


Pengarang :