Ng Sze Han mengimbas kod QR ‘Scan To Ride’ di pintu masuk Bas Smart Selangor ketika melancarkan sistem itu pada 1 Mac 2021. Foto Facebook Ng Sze Han
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Lebih 70,000 guna Scan to Ride dalam tempoh kurang sebulan

SHAH ALAM, 26 MAC: Seramai 74,037 penumpang Bas Smart Selangor menggunakan Scan To Ride ketika menaiki perkhidmatan awam itu sejak 1 Mac lalu.

Sistem imbasan kod QR melalui aplikasi Citizen E-Payment Platform (CEPat) diwajibkan ke atas penumpang ketika naik dan sebelum turun bas.

EXCO Pengangkutan Awam Ng Sze Han berkata caj 90 sen yang dikenakan ke atas warga asing pula mencatatkan sebanyak RM8,964 setakat ini.

“Walaupun pelaksanaannya tidak sampai sebulan namun sambutan terhadap sistem ini amat menggalakkan, malah pengguna mematuhi arahan untuk mengimbas kod itu,” katanya ketika dihubungi.

Kerajaan Selangor melancarkan Scan To Ride sejajar hasrat menggalakkan penggunaan teknologi digital dan bayaran tanpa tunai bagi menjayakan visi Smart Selangor menjelang 2035.

Bermula 15 Mac, penumpang bukan warganegara dalam lingkungan 18 hingga 59 tahun perlu membayar perkhidmatan tersebut manakala rakyat tempatan kekal percuma.

Penumpang warganegara berusia 60 tahun ke atas dan kanak-kanak tidak diwajibkan mempunyai aplikasi itu sebaliknya hanya perlu membawa kad pengenalan.

Smart Selangor Delivery Unit menyasarkan lebih 200,000 pengguna bakal mengguna aplikasi CEPat yang turut menawarkan khidmat bayaran cukai taksiran, kompaun, lesen, sewaan fasiliti dan utiliti.

 


Pengarang :