AGENDANASIONAL

Lebih RM2 juta beras seludup dari India dirampas di Pelabuhan Klang

KLANG, 29 MAC: Batalion 4 Pasukan Gerakan Am Briged Tengah merampas 26 tan beras tidak bercukai bernilai RM2.65 juta, yang dipercayai diseludup masuk dari India untuk pasaran tempatan dalam satu operasi yang dijalankan pasukan itu, pada Sabtu lepas di sekitar Klang.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA Supt Rizal Mohamed berkata, sepasukan pegawai dan anggota polis menahan tiga individu dalam keadaan mencurigakan, yang sedang memunggah guni berwarna putih dari sebuah kontena ke dalam sebuah stor di Jalan Telok Gadong, Pelabuhan Klang.

Beliau berkata ketika serbuan dijalankan, pihak polis berjaya menahan dua lelaki warganegara Malaysia berumur 37 tahun dan 38 tahun, serta seorang lelaki warganegara India berumur 26 tahun.

“Pihak polis merampas 78 guni beras, 259 kampit beras dan 60 kotak beras pelbagai jenama, yang dipercayai diseludup dengan anggaran berat 13 tan beserta satu trailer kontena.

“Hasil pemeriksaan di stor pula, pasukan polis menemui 214 guni beras, 459 kampit beras dan 200 kotak beras pelbagai jenama, dipercayai tidak bercukai dengan anggaran berat 13 tan,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, tangkapan dan rampasan tersebut berjaya memutuskan salah satu rangkaian sindiket pengedaran beras seludup atau tidak bercukai di sekitar Klang.

“Suspek yang ditahan dan barang rampasan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Selangor, atas kesalahan di bawah Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sebanyak RM25,000 dan semua barangan dirampas,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :