‘The Red Giants’ membuat kejutan dengan membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh permainan menerusi gol sepakan lencong penyerang import Ifedayo Olusegun di Stadium Sultan Ibrahim pada 17 Mac 2021. Foto: Facebook Selangor FC
AGENDASUKANKINI

Liga Super: Selangor FC rentap ego JDT, seri 1-1

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Selangor FC berjaya merentap ego juara Liga Super tujuh tahun berturut-turut Johor Darul Ta’zim (JDT), selepas mengikat gergasi bola sepak dari selatan tanah air itu dengan keputusan seri 1-1, pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri malam tadi.

Pasukan ‘The Red Giants’ membuat kejutan dengan membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh permainan, menerusi gol sepakan lencong di sebelah kiri penyerang import Ifedayo Olusegun yang menyempurnakan lorongan bola ke dalam kotak penalti dari tengah padang oleh pemain import baharu dari Switzerland, Oliver Buff.

Grafik: Facebook Selangor FC

Tersentak dengan jaringan pembukaan itu, JDT tidak memerlukan masa yang lama untuk bangkit menyamakan kedudukan menerusi penyerang import baharu dari Brazil Bergson Da Silva, selepas melepaskan rembatan padu hasil hantaran pendek dari sebelah kiri oleh Gonzalo Gabriel Cabrera pada minit ke-11.

JDT sepatutnya berada di depan pada minit ke-40 namun Cabrera gagal memanfaatkan penalti, selepas sepakannya hanya melewati palang gol susulan bentesan Mohamad Ashmawi Md Yakin menyebabkan pemain sayap Arif Aiman Mohd Hanapi, terjatuh di dalam kotak penalti.

Bersambung babak kedua, skuad Harimau Selatan berpeluang untuk menambah jaringan menerusi satu lagi sepakan penalti, namun cubaan Da Silva berjaya diselamatkan Khairulazhan yang tenang menepis keluar tendangan itu dan menyaksikan kedudukan seri kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Kedudukan itu menyaksikan JDT kekal di tangga teratas liga dengan mengutip 10 mata selepas empat perlawanan, manakala Selangor pula kekal di tangga kelima liga dengan kutipan lima mata.

– BERNAMA

Grafik: Facebook Malaysian Football League

Pengarang :