Anggota RELA memerhatikan orang ramai yang menjalani ujian calitan dalam program Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di Stadium Mini Sungai Besar, Sabak Bernam pada 25 Februari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
SELANGOR

Lima lagi kluster baharu di Selangor, empat babit tempat kerja

SHAH ALAM, 3 MAC: Lima lagi kluster baharu Covid-19 dikesan di Selangor hari ini, empat daripadanya melibatkan tempat kerja dan satu kumpulan berisiko tinggi.

Ketua pengarah kesihatan berkata kluster Jalan Perubatan tercetus di Hulu Langat hasil saringan bersasar pekerja sebuah restoran di Pandan Indah.

Tan Sri Dr Noor Hisham memaklumkan sebanyak 13 kes positif daripada 20 individu yang disaring dalam kluster tersebut setakat ini.

“Kes kluster Jalan Utarid melibatkan Kuala Langat dan Petaling yang dikesan positif hasil saringan bersasar pekerja sebuah kilang di Shah Alam. Sejumlah 50 individu disaring dan 16 daripadanya positif,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata kes kluster Tapak Bina Jalan MP di Petaling pula dikesan melalui saringan bersasar pekerja sebuah tapak binaan di Subang Jaya.

“Sebanyak 12 kes positif dilaporkan daripada 163 individu disaring dalam kluster berkenaan,” katanya.

Dr Noor Hisham menambah kluster Balakong Satu di Hulu Langat dikesan hasil saringan bersasar pekerja sebuah kilang di Kampung Baru Balakong dengan 10 kes positif daripada 60 yang disaring.

“Kluster Jalan Anak Gasing melibatkan sebuah pusat jagaan warga emas di Petaling Jaya dan 20 positif daripada 32 yang disaring,” katanya.

Berikut perincian enam kluster lain dalam negara:

1. Kluster Jalan DBP Lima – kluster tempat kerja melibatkan Johor Bahru, Johor.
2. Kluster Jalan Sikamat Lama- kluster tempat kerja melibatkan Seremban, Negeri Sembilan
3. Kluster Jalan PKNK 1/6 – kluster tempat kerja di Kuala Muda, Kedah
4. Kluster Kampung Gedang – kluster komuniti melibatkan Alor Gajah dan Melaka Tengah, Melaka; Petaling, Selangor serta Johor Bahru, Johor
5. Kluster Sri Jelutung – kluster tempat kerja melibatkan Pekan, Pahang
6. Kluster Jalan Bachok – kluster tempat kerja melibatkan Bachok dan Pasir Puteh, Kelantan


Pengarang :