Pengunjung melalui jabatan gantung setinggi 79.2 meter di Taman Eko Rimba Kuala Lumpur (TERKL) pada 11 Mac 2021. TERKL adalah salah satu hutan simpanan kekal tertua di Semenanjung Malaysia dengan keluasan 9.37 hektar dan juga dikenali sebagai Paru-Paru Hijau Kuala Lumpur (The Green Lung of Kuala Lumpur). Foto: BERNAMA
PENDAPATRENCANA

Lindungi hutan imbangi ekosistem alam semulajadi

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 19 MAC: “Bumi yang tiada rimba, seumpama hamba, Dia dicemar manusia, yang jahil ketawa….”

Lirik lagu ‘Hijau’ nyanyian Zainal Abidin Mohamad ini terngiang-ngiang di fikiran penulis tatkala kaki melangkah ke Denai Salleh, Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM) sambil menikmati keindahan kehijauan sekeliling.

Denai Salleh ini mengambil nama Ketua Pengarah FRIM yang pertama, Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor yang menyandang jawatan tersebut dari 1985 hingga 1995. Terdapat spesies pokok yang ditanam seawal tahun 1925 di Denai ini seperti pokok kapur, keladan, gaharu, merbau dan rotan.

Kunjungan ke FRIM pada pagi Rabu itu membuatkan penulis terkesima dengan persekitaran kawasan hutan yang terpelihara rapi setelah sekian lama ditutup akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac 2020.

“Sebelum PKP, daun kering akan terkumpul di tepi lorong dan dahan kecil pokok memang tidak akan kelihatan sepanjang lorong pejalan kaki,” kata jurupandu FRIM, Edi Hermi Muhammad Ramli, ketika penulis asyik meneliti laluan jejak Denai Salleh yang dipenuhi hamparan daun kering.

Ketua Pengarah FRIM, Dr Khali Aziz Hamzah yang turut serta dalam sesi trekking itu bersama kami turut bersetuju dengan kenyataan tersebut, sambil memperkenalkan kepada penuilis spesies pokok hutan hujan yang ada di sekitar Denai Salleh itu.

Dr Khali Aziz Hamzah (kiri) menunjukkan pokok yang terdapat di FRIM ketika ditemui baru-baru ini sempena Hari Hutan Antarabangsa 2021. Foto: BERNAMA

“Hikmah PKP, hutan simpan dan penyelidikan jarang dikunjungi orang ramai menyebabkan ia dapat ‘berehat’ seketika, sekali gus menarik kunjungan hidupan liar dan pelbagai jenis burung yang mampu mengekalkan ekosistem,” katanya kepada Bernama.

Menariknya, sepanjang kira-kira 20 minit perjalanan, kami disajikan dengan fenomena crown shyness yang terhasil daripada silara (rimbunan daun pada atas pokok) pokok kapur (Dryobalanops aromatica) yang tidak bersentuhan antara satu sama lain, seakan-akan mengamalkan penjarakan sosial.

Menurut Edi Hermi, pemandangan seperti teka-teki jigsaw di langit ini merupakan salah satu tarikan yang paling terkenal dalam FRIM dan menarik perhatian Saluran Televisyen Amerika, National Geographic (NatGeo) untuk mengabdikannya di dalam portal berkenaan.

“Pokok kapur mempunyai batang berbentuk silinder yang lurus dan boleh mencapai ketinggian sehingga 60 meter yang disokong dari bawah oleh banir yang kadangkala mencapai beberapa meter tinggi,” jelasnya.

Permit rentas hutan

Biarpun ketika itu jarum jam sudah menunjukkan jam 12 tengah hari, kami tidak berasa bahang terik matahari kerana terdapat ratusan pohon besar memayungi sebahagian hutan.

Bagi yang tidak biasa merentas atau mendaki hutan, denai hutan ini sudah memadai sebagai aktiviti permulaan kerana laluannya begitu teratur, dibina tangga dan lengkap dengan penunjuk arah.

Terletak di kawasan seluas 545 hektar bersebelahan dengan Hutan Simpan Bukit Lagong di Kepong, sebelum PKP dikuatkuasakan, orang ramai sering menjadikan FRIM sebagai kawasan rekreasi terutamanya pada hujung minggu.

Menurut Khali, sebarang pendakian bukit ataupun merentas hutan, tidak kira ke FRIM mahupun mana-mana hutan-hutan simpan atau rekreasi haruslah mendapatkan permit kebenaran masuk daripada pihak berkaitan.

Malah kakitangan FRIM sendiri, kata beliau, perlu memohon permit masuk untuk menjalankan penyelidikan dalam hutan simpan atau rekreasi dari Jabatan Perhutanan Negeri.

“Semua jenis lawatan ke FRIM juga sebenarnya memerlukan kebenaran sama ada dalam bertulis ataupun tiket, meskipun hanya untuk rekreasi ataupun berjoging.

“Prosedur ini penting bukan sahaja untuk melindungi persekitaran alam semulajadi, tetapi bagi mengelakkan berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya sambil memberi contoh kejadian seorang pengunjung tersesat ketika melakukan aktiviti jungle trekking di denai alam FRIM, dua tahun lepas.

Beliau menambah, sebarang kegiatan jungle trekking perlu ada jurupandu alam (nature guide) bertauliah bagi memastikan keselamatan dan mengelakkan daripada vandalisme berlaku di dalam hutan.

“Berikutan Covid-19 dan PKP, jumlah pendaki perlu dihadkan dan syarat wajib untuk menggunakan khidmat jurupandu juga boleh ditetapkan bukan sahaja untuk keselamatan, tetapi juga memberi pendedahan dan pendidikan kepada pendaki mengenai kepentingan ekosistem hutan kepada manusia,” katanya.

Khali berkata, pemasangan CCTV adalah antara langkah bagi memastikan keselamatan pengunjung di hutan pendidikan dan rekreasi, selain mengelakkan vandalisme harta benda awam.

“Walau bagaimanapun, pendidikan alam sekitar sangat penting bagi memberi kesedaran kepada pengunjung tentang penjagaan hutan, terutamanya terhadap pengambilan hasil hutan kerana ia akan merosakkan ekosistem.

“Kesalahan mengambil hasil hutan tanpa kebenaran itu adalah tertakluk kepada Subseksyen 47(1) Akta Perhutanan Negara 1984 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Hutan simpan penyejuk suhu bandar

Pembangunan bandar dan penempatan secara tidak langsung mengurangkan kawasan hijau dan hutan sebagai penyimpan khazanah alam semulajadi.

Khali yang menegaskan perkara ini berkata, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan terus berusaha mewartakan kawasan hijau dan hutan rimba sebagai hutan simpan kekal bagi mengekalkan ekosistem dan menurunkan haba bandar akibat pembangunan pesat.

“Secara keseluruhannya, kira-kira 12.7 juta hektar hutan simpan diwartakan di seluruh negara. Bagi hutan pendidikan pula sebanyak 128 kawasan merangkumi 123 Taman Eko Rimba dan lima hutan taman negeri,” katanya.

Beliau menambah, suasana persekitaran hutan simpan yang dikelilingi pokok hutan hujan tropikal turut berupaya menurunkan haba dan menyerap gas karbon yang dihasilkan oelh kenderaan dan kilang di sekitarnya.

“Pokok dari kawasan hutan simpan dan pendidikan di bandar juga mampu menyerap bau serta gas tercemar, serta menapis partikel terampai yang melekat di daun dan batang pokok.

“Menurut kajian, dalam 0.4 hektar pokok yang matang berfungsi menyerap karbon dioksida yang dikeluarkan oleh 26,000 batu kereta secara puratanya dan sebatang pokok yang matang mampu menyerap 21.8 kilogram karbon dioksida setahun,” katanya.

Khali berkata selain pemeliharaan hutan simpan, kerajaan juga menggerakkan usaha penghijauan negara melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang dilaksanakan selama lima tahun bermula tahun 2021.

“Kewujudan kawasan hijau di bandar berupaya menyumbang kepada kesejahteraan bandar, selain berperanan sebagai lokasi untuk aktiviti riadah dan rekreasi, serta medium aktiviti kemasyarakatan.

“FRIM menyokong sepenuhnya tindakan PBT dan kerajaan negeri bagi menjayakan kempen penanaman pokok di jalan-jalan dan bangunan bandar, seiring dengan prinsip asas dalam arborikultur iaitu ‘Tanam pokok yang sesuai di tempat yang sesuai’ (Plant a right tree at a right place),” katanya.

Menurut beliau, terdapat kira-kira 20 spesies pokok teduhan dan hiasan yang berpotensi dijadikan sebagai pokok ameniti pilihan untuk ditanam di dalam kawasan bandar.

“Antara pokok yang sesuai ditanam di kawasan bandar termasuklah jemerlang (Yellow flame), penaga lilin (Mesua ferrea), bunga tanjung (Mimusops elengi), dan geronggang (Cratoxylum formosum).

“Penanaman pokok di bandar adalah bagi mengindahkan jalan-jalan dan bangunan, memberi teduhan, mengurangkan silauan matahari, merendahkan suhu dan mengurangkan pencemaran udara,” katanya.

Beliau berkata, peranan Arborist atau ‘doktor pokok’ juga penting dalam memastikan pokok yang ditanam di sekitar bandar mendapat penjagaan rapi dari segi pemindahan pokok, pemangkasan, pengurusan risiko, pencegahan kerosakan akibat cuaca dan kesuburan pokok.

“Ia juga bagi mengelakkan daripada pokok tumbang akibat terlalu tua dan cuaca tidak menentu,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :