Selangorkini
Majlis Perbandaran Selayang (MPS) merobohkan premis yang didirikan tanpa kebenaran atas rizab lembangan Sungai Selangor di Rawang pada 8 Disember 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

LUAS: Warta 1,124 sungai, elak pencemaran sumber air

SHAH ALAM, 13 MAC: Sebanyak 1,124 sungai termasuk cabang sungai di Selangor akan diwartakan sebagai rizab sungai bagi mengekang pencemaran sumber air.

Usaha yang dilakukan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) itu untuk memastikan lebih 12 juta penduduk di Lembah Klang tidak lagi menghadapi masalah bekalan air.

“Sebanyak 663 sungai telah siap pelan ukur demarkasi sebelum dikemukakan kepada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia dan baki 458 sungai lagi akan di laksanakan secara berperingkat sehingga 2023.

“Setakat Januari tahun ini, tiga sungai sudah mempunyai pelan warta yang sempurna iaitu Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Damansara,” lapor Kosmo!

Menurut agensi itu,  proses pewartaan itu meliputi 50 meter pada bahagian kiri dan kanan sungai mengikut Seksyen 48 Enakmen Luas 1999.

Pewartaan berkenaan membabitkan kawasan lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat, Sungai Bernam, Sungai Buloh, Sungai Tengi, Sungai Sepang dan Sungai Klang.

Sementara itu, LUAS memaklumkan penubuhan zon pelindungan di bawah Seksyen 48(1) Enakmen Luas 1999 bertujuan menyelamatkan mana-mana sumber air, takungan dan kawasan pantai yang sensitif kepada alam sekitar.

Jelasnya, kesemua aktiviti sedia ada di zon pelindungan adalah tertakluk kepada sekatan seperti larangan terhadap sebarang pembinaan struktur.

“Sekatan itu turut melibatkan pelaksanaan sebarang aktiviti atau penyimpanan bahan kimia termasuk racun makhluk perosak, baja dan pembuangan bahan buangan,” katanya.


Pengarang :