Mak Wan, salah seorang asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS) menunjukkan produk dalam tin yang dihasilkannya. Foto Facebook LZS
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LZS kagum asnaf berjaya usaha perniagaan sendiri

SHAH ALAM, 15 MAC: Lembaga Zakat Selangor (LZS) kagum apabila salah seorang asnaf di bawah kendaliannya mampu mengusahakan perniagaan sendiri.

Menurut agensi kejayaan individu yang dikenali sebagai Mak Wan adalah hasil program usahawan dan bantuan modal perniagaan dari Teraju Ekonomi Asnaf (Teras), anak syarikat Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

“Mak Wan menjalankan perniagaan pemprosesan sardin dan juga pes laksa di dalam tin. Beliau berkongsi pelbagai cabaran yang perlu dilalui tetapi masih tekad untuk mengeluarkan diri daripada kepompong kemiskinan.

“Beliau juga menyatakan harapannya untuk menjadi usahawan berjaya dengan bantuan kami,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

LZS berkata pihaknya akan memantau keperluan wanita itu dari semasa ke semasa supaya impiannya untuk menjadi usahawan berjaya menjadi kenyataan.

“Dengan slogan ‘Macam Masakan Bonda’, produk sardin atau mackerel dan pes laksa utara dalam tin ini mempunyai potensi tinggi di pasaran luar memandangkan ia adalah produk orang Islam,” katanya.


Pengarang :