Setiausaha Mais Dr Ahmad Shahir Makhtar (tengah) menyerahkan bantuan fidyah kepada salah seorang penerima di Masjid As-Salam Puchong, Puchong Perdana pada 6 Mac 2021. Foto Facebook Mais
AGENSISELANGOR

Mais agih wang fidyah lebih RM500,000, bantu 5,455 keluarga

SHAH ALAM, 8 MAC: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengagihkan sebanyak RM545,500 wang fidyah kepada 5,455 keluarga terjejas akibat pandemik Covid-19 untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Setiausahanya berkata sumbangan khusus kepada individu atau keluarga golongan berpendapatan rendah (B40), peniaga, penjaja terjejas punca pendapatan dan mereka yang hilang pekerjaan.

Setiausaha Mais Dr Ahmad Shahir Makhtar (tengah) bersama penerima bantuan fidyah di Masjid As-Salam Puchong, Puchong Perdana pada 6 Mac 2021. Foto Facebook Mais

“Bantuan disalur melalui pelbagai program turun padang dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor, Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd, Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan serta masjid dan surau di daerah yang berkenaan.

“Setiap keluarga menerima bantuan fidyah berupa pek makanan asasi seperti beras, minyak masak, gula, tepung dan susu,” kata Dr Ahmad Shahir Makhtar dalam kenyataan.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya menyampaikan sumbangan bantuan fidyah kepada 416 keluarga membabitkan RM41,600 kelmarin.

Menurutnya, agihan wang fidyah RM10,000 turut diberi kepada 100 penerima yang dirujuk oleh Pertubuhan Penyayang Salam.

Orang ramai yang mahu membuat bayaran fidyah boleh melayari laman sesawang www.mais.gov.my atau bayaran boleh dibuat terus menerusi http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php.

 


Pengarang :