AGENSISELANGOR

Mais kerjasama dengan polis siasat kes setubuh luar tabii

SHAH ALAM, 2 MAC: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) akan bekerjasama dengan polis untuk meneruskan siasatan berhubung kes seorang lelaki yang dituduh melakukan persetubuhan luar tabii.

Pengerusinya berkata siasatan diteruskan mengikut Kanun Tatacara Jenayah susulan keputusan Mahkamah Persekutuan mengetepikan perundangan syariah negeri.

“Keputusan mahkamah ini sama sekali tidak menafikan secara keseluruhan bidang kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membuat undang-undang berkait kesalahan bertentangan Islam.

“Mahkamah menyatakan DUN masih boleh menggubal undang-undang melibatkan kesalahan akidah, kesucian agama Islam dan moral,” kata Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam kenyataan.

Pada 25 Februari, Mahkamah Persekutuan memutuskan Seksyen 28 Enakmen 28 Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang membenarkan hukuman bagi persetubuhan luar tabii tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel sembilan hakim berkata hanya Parlimen mempunyai kuasa menggubal undang-undang menjadikannya sebagai jenayah.

Berikutan itu, menteri hal ehwal agama berkata Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia akan berunding dengan pihak berkuasa negeri untuk menyeragamkan undang-undang syariah.


Pengarang :