Penerima makanan asas ketika program Mais santuni dan bantu 716 orang asal Taman Desa Kemandol di Surau Al-Hidayah, Jenjarom, Kuala Langat pada 13 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Mais santuni 716 Orang Asal, hulur bantuan makanan asas

KUALA LANGAT, 13 MAC: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyantuni kira-kira 716 keluarga Orang Asal yang terkesan wabak Covid-19.

Setiausahanya berkata sebanyak RM71,600 diperuntukkan melalui sumber wang fidyah khusus untuk membantu meringankan beban golongan berkenaan.

“Setiap keluarga terima bantuan keperluan makanan asas bernilai RM100 meliputi beras, minyak masak, gula, tepung dan bihun.

Setiausaha Mais, Dr Ahmad Shahir (tengah) bergambar bersama penerima ketika program Mais santuni dan bantu 716 orang asal di Taman Desa Kemandol di Surau Al-Hidayah, Jenjarom, Kuala Langat pada 13 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Sumbangan ini juga bagi memastikan tiada masyarakat Orang Asal terputus bekalan makanan ketika pandemik dan semoga sedikit sebanyak membantu mereka,” kata Dr Ahmad Shahir Makhtar.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis serahan bantuan kepada Orang Asal di Surau Al-Hidayah, Taman Desa Kemandol, Jenjarom di sini.

Menurutnya setakat ini, Mais telah mengagihkan wang fidyah sebanyak RM719,000 kepada 7,191 orang.

“Kita menyasarkan kira-kira 20,000 keluarga akan dibantu tahun ini antaranya golongan kategori berpendapatan rendah (B40), peniaga terjejas dan individu hilang kerja,” katanya.

Sementara itu, seorang penerima Muhammad Affendi Ali Abdullah, 52, berterima kasih atas bantuan itu dan berharap diteruskan dari semasa ke semasa.

Nurfatimah Chinta Abdullah

Nurfatimah Chinta Abdullah, 61, pula berkata sumbangan berkenaan sangat membantu terutama mereka yang mempunyai ahli keluarga ramai.

“Bantuan ini dapat menampung kos perbelanjaan makanan bulanan kami sekeluarga, terima kasih Mais,” katanya yang tinggal bersama tujuh ahli keluarga dalam satu satu rumah.


Pengarang :