Sukarelawan pelancong Khairul Azmi A Ghafar (kanan) menunjukkan demonstrasi penerangan diberikan kepada pelancong yang melawat Pusat Informasi Islam Mais (PIIM) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 11 Mac 2021. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Mais wujud pusat informasi tangani Islamofobia

SHAH ALAM, 11 MAC: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menubuhkan pusat penerangan bagi menangani isu Islamofobia dan salah tanggapan terhadap Islam.

Pengarah pembangunan sosialnya berkata Pusat Informasi Islam Mais (PIIM) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini menjadi pusat rujukan berkaitan keindahan ajaran Islam kepada pengunjung dalam dan luar negara.

“Pelancong berpeluang merasai pengalaman baharu meneroka keindahan Islam secara visual dan infografik selain diberi buku serta risalah termasuk cenderahati sebagai penghargaan melawat pusat tersebut,” kata Suhaimi Ismail selepas program promosi PIIM hari ini.

Beliau memaklumkan pelbagai aktiviti dilaksana sejak pusat bertemakan ‘Islam Untuk Semua’ itu beroperasi secara rasmi pada 1 April 2016 di bawah kendalian Islamic Outreach ABIM Centre (IOAC) yang bertindak selaku operator.

Katanya, aktiviti dijalankan meliputi lawatan galeri, soal jawab Islamofobia, perbincangan antara agama, majlis syahadah, kelas al-Quran dan bahasa Arab, kelas Iqra Mualaf, diskusi ilmiah serta iftar Ramadan.

Pusat berkenaan dibuka setiap hari kecuali cuti umum dari 9 pagi hingga 5 petang dan masuk adalah percuma.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari Facebook Mais Islamic Information Centre atau hubungi 011-61892146 dan 013-3942736.


Pengarang :