Petugas kesihatan menyediakan dos vaksin AstraZeneca di Santiago, Republik Dominica pada 17 Februari 2021. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Malaysia guna vaksin Covid-19 jenis Sinovac Khamis ini

PUTRAJAYA, 15 MAC: Malaysia akan menggunakan vaksin Covid-19 jenis Sinovac bermula Khamis ini, dengan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin, menjadi penerima pertama suntikan vaksin keluaran China itu.

Mengumumkan perkara itu dalam sidang media mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di sini hari ini, Khairy berkata beliau akan menerima suntikan pertama vaksin Sinovac itu di Hospital Rembau, Negeri Sembilan.

“Kita akan mula vaksinasi menggunakan vaksin Sinovac di Hospital Rembau dan sayalah orang pertama akan guna vaksin itu,” katanya yang juga Ahli Parlimen Rembau.

Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 2 Mac meluluskan pendaftaran secara bersyarat bagi tiga vaksin Covid-19 untuk kegunaan semasa bencana iaitu, ‘Covid-19 Vaccine AstraZeneca Solution for Injection’; ‘CoronaVac Suspension for Injection – Sinovac’; dan ‘COMIRNATY Concentrate for Dispersion for Injection’.

Mengenai perolehan vaksin satu dos daripada syarikat Johnson & Johnson (J&J) dari Amerika Syarikat, Khairy berkata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) memutuskan untuk tidak meneruskan perolehan vaksin itu.

“Mengenai J&J, kami memutuskan untuk tidak meneruskannya pada masa ini kerana jadual penghantarannya yang tidak memuaskan hari kerajaan Malaysia. Mereka perlu kembali dengan jumlah yang lebih banyak dan jadual penghantaran yang lebih pantas,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba yang turut sama dalam sidang media itu berkata, suntikan dos kedua vaksin Pfizer-BioNTech akan diberikan mulai Rabu ini.

Malaysia memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada 24 Feb lepas dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima suntikan pertama daripada dua dos vaksin Pfizer-BioNTech.

– BERNAMA

 


Pengarang :