AGENSISELANGOR

Malaysia Women Marathon secara maya mulai 8 Mac

SHAH ALAM, 10 MAC: Acara maraton wanita MCIS Life Malaysia Women Marathon (MWM) tahun ini akan dijalankan secara dalam talian mulai 8 Mac hingga 8 April depan.

Pengurus besar Tourism Selangor berkata program memasuki tahun kesembilan berlangsung sebulan menyasarkan lebih 2,000 peserta mengambil pendekatan berbeza bersesuaian norma baharu berikutan pandemik Covid-19.

“Kita mengalu-alukan wanita, lelaki atau remaja 15 tahun ke atas menyertai acara larian dan berbasikal dan bersama kekal sihat sambil patuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Peserta boleh melakukannya di dalam atau di luar rumah dengan berentap menggunakan teknologi mudah alih untuk merekod jarak dan masa untuk dihantar kepada penganjur dalam tempoh acara itu berlangsung” kata Azrul Shah Mohamad dalam kenyataan.

Beliau berkata program tersebut juga selaras dengan sambutan Hari Wanita Sedunia 2021 yang membawa tema #ChooseToChallenge iaitu isu semasa atau usaha meningkatkan kesedaran berkaitan pembangunan wanita.

Ia bakal dirasmikan menerusi Facebook dan YouTube sambil mengetengahkan tokoh wanita dari pelbagai industri tempatan antaranya penyanyi, Elvira Arul dan pelakon, Vanidah Imran.

Tahun ini menyaksikan pilihan jarak larian MCIS Life MWM yang lebih pelbagai seperti:

• Masa untuk menghabiskan larian adalah sebulan: 8 Mac – 8 April
• Empat pilihan jarak larian: 50kilometer (km), 100km, 150km atau 250km yang boleh dihabiskan secara berperingkat selama sebulan
• Peserta berbasikal perlu jarak sejauh 400km
• Kategori elit ada disediakan untuk pelari yang ingin mencuba larian separa maraton atau larian maraton penuh

Pada masa sama peserta juga digalak mengguna tanda pagar #NakBerlariPusingSelangorDulu untuk mempromosi Kempen Pelancongan Domestik Tourism Selangor; Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu.


Pengarang :