Kira-kira 14 hektar kawasan Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Selatan berjaya dipadamkan setakat 3 Mac 2021, namun masih terdapat 18 hektar belum dipadamkan sepenuhnya. Foto UPBN
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Maritim guna bom air padam kebakaran Hutan Simpan Kuala Langat

SHAH ALAM, 4 MAC: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengguna pengeboman air bagi memadamkan kebakaran di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan.

Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor berkata operasi yang bermula dari jam 9 pagi hingga 2.30 petang semalam menggunakan 190,000 liter air.

“Sehingga kini, sebanyak 14 hektar kawasan kebakaran berjaya dipadamkan serta masih berbaki 18 hektar belum dipadamkan sepenuhnya,” kata agensi kepada SelangorKini.

UPBN menjelaskan 12 telaga tiub yang menggunakan air bawah tanah turut diaktifkan di kawasan terbabit.

“Bagi memantau lokasi berkenaan dengan lebih rapi, UPBN juga menggunakan dron untuk pemantauan dari udara.

“Sehingga kini lebih 190 anggota iaitu antaranya UPBN Selangor, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat, Majlis Perbandaran Kuala Langat membantu dalam operasi bersepadu pemadaman kebakaran berkenaan,” katanya.

Pada Selasa lalu, dilaporkan kira-kira 34 hektar kawasan hutan simpan kekal terbabit terbakar berpunca daripada aktiviti pembakaran terbuka.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata kebakaran itu meliputi 0.45 peratus daripada 7,416 hektar keseluruhan kawasan hutan.

Kebakaran itu mengakibatkan tumbuhan daripada spesies mahang, sendayan serta tanaman kontan milik petani musnah.


Pengarang :