Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) meninjau lokasi Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Kampung Lindungan PJS 6, Petaling Jaya pada 21 Februari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB ajak penduduk Kuala Langat sertai saringan percuma Sabtu ini

SHAH ALAM, 18 MAC: Penduduk sekitar Kuala Langat dijemput menyertai program Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma pada Sabtu ini.

Dato’ Menteri Besar  Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program yang bermula dari jam 9 pagi hingga 4 petang diadakan di Dewan Orang Ramai Telok Panglima Garang.

“Warga Kuala Langat yang menetap di kawasan berhampiran dijemput untuk menjalani ujian saringan Covid-19 percuma di Dewan Orang Ramai Telok Panglima Garang, pada 20 Mac ini,” tulisnya di Twitter.

Orang ramai boleh mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan guna fungsi saringan atau layari http://screening.selangkah.my.

Selain di Kuala Langat, saringan serupa diadakan di Dewan Bestari Jaya, Kuala Selangor pada Ahad dalam waktu yang sama.

Sebelum ini, program tersebut dilaksanakan serentak di Dewan Serbaguna MPSJ, Bandar Bukit Puchong dan Taman Batu Tiga, Subang Jaya pada 13 Mac.

Manakala, pada 14 Mac ia diteruskan lagi di Dewan Seroja MBSA Seksyen 27, Shah Alam dan Dewan Serbaguna MPSJ, USJ 7.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di seluruh negeri untuk membendung wabak.

Program menyasar penglibatan 50,000 penduduk negeri ini meliputi kawasan berkepadatan tinggi dan golongan berpendapatan rendah bagi meringankan beban mereka.


Pengarang :