Dato’ Seri Amirudin Shari berucap semasa Majlis Menandatangani Perjanjian Antara Air Selangor dan Indah Water Konsortium bagi Pembangunan Air Pulih Guna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya pada 16 Mac 2021. Foto: Air Selangor
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Bina loji pulih air penanda aras baharu sistem bekalan

SHAH ALAM, 16 MAC: Langkah mewujudkan loji air pulih guna khusus untuk sektor industri di Lembah Klang menjadi penanda aras baharu sistem bekalan air di negara ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha tersebut sebagai alternatif terbaik kepada pengilang selain mengurangkan beban permintaan air bersih untuk kegunaan isi rumah.

“Selangor sebagai negeri yang pesat membangun dan mempunyai kepadatan penduduk tinggi merekodkan kadar penggunaan air harian sangat tinggi.

“Justeru usaha sama antara Selangor dan Putrajaya menjadi pemangkin kepada usaha untuk mewujudkan ekosistem bekalan air lebih efisien,” kata Dato’ Menteri Besar.

Beliau berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) di Hotel Intercontinental Kuala Lumpur, hari ini.

Projek loji air pulih guna untuk kegunaan industri bakal dilaksanakan di Setia Alam yang mampu mengeluarkan lapan juta liter sehari, Seksyen 23 Shah Alam (40 juta liter) dan Pantai Dalam, Kuala Lumpur (100 juta liter).

Mengulas lanjut beliau berkata Selangor melaksanakan projek bernilai RM200 juta menerusi Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) bagi mengatasi isu pencemaran air.

Pada 30 Oktober tahun lalu, Amirudin menggariskan empat langkah meliputi rawatan kualiti air Sungai Gong dan pemantauan 24 jam di kawasan sensitif sumber air.

Turut dilaksanakan menambah bilangan stesen telemetri bagi sistem amaran awal di hulu muka sauk berisiko serta pengepaman air mentah dari kolam takungan Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai (HORAS) di Sungai Selangor dan Sungai Semenyih.

 


Pengarang :