Dato’ Seri Amirudin Shari selesai mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dos kedua di Hospital Shah Alam pada 18 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB, EXCO, anggota MKN lengkapkan suntikan vaksin Covid-19

SHAH ALAM, 18 MAC: Dato’ Menteri Besar bersama EXCO Kerajaan Negeri hari ini selesai melengkapkan dos suntikan vaksin Covid-19.

Selain Dato’ Seri Amirudin Shari, anggota Majlis Keselamatan Negeri antara 42 individu yang menerima suntikan dos kedua vaksin jenis Pfizer-BioNTech di Hospital Shah Alam, di sini pada jam 2.45 petang.

Suntikan kedua itu diterima mereka genap 21 hari selepas disuntik dos pertama di hospital sama pada 25 Februari lalu seperti disyaratkan bagi penggunaan vaksin jenis itu.

Turut disuntik, Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Nor Azmie Diron dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman.

Terdahulu, Amirudin tiba di hospital berkenaan pada jam 2.25 petang sebelum mengimbas kod MySejahtera, salah satu daripada lima kaedah pendaftaran untuk mendapatkan vaksin.

Beliau bersama petugas hadapan, EXCO dan pegawai kanan Kerajaaan Negeri diberi penerangan ringkas sebelum menandatangani dokumen pengisytiharan diri dan persetujuan untuk disuntik.

Selepas menerima suntikan, Amirudin dibawa ke ruangan khas untuk dipantau antara 15 hingga 30 minit bagi mengesan gejala sampingan sebelum mendapat pelepasan.

Malaysia berada dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dilancarkan pada 24 Februari dengan sasaran kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan bermula akhir Februari lalu hingga April depan.

Fasa kedua imunisasi yang membabitkan vaksin Pfizer-BioNTech dan Sinovac dijadual bermula April hingga Ogos depan bagi kira-kira 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi.

Fasa ketiga pula bermula pada Mei hingga Februari tahun depan dan disasarkan untuk sekitar 13.7 juta penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas, sama ada rakyat tempatan atau warga asing.

 


Pengarang :