Suasana hari pertama pembukaan pasar tani di TTDI Jaya Seksyen U2 Shah Alam pada 17 Mac 2021. Foto BERNAMA
BERITA UTAMASELANGOR

MB: Jumlah bazar Ramadan ditentu PBT dengan SOP ketat

SHAH ALAM, 19 MAC: Jumlah bazar Ramadan beroperasi di Selangor bergantung kepada kemampuan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mengendalikannya dengan pelaksanaan tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihak majlis berhak mengehadkan jumlah bazar berkenaan bagi mencegah jangkitan Covid-19.

“Jika kita benarkan semua bazar Ramadan beroperasi dibimbangi akan wujud kluster baharu. Oleh itu, sekali lagi diingatkan SOP perlu dijaga memandangkan ramai lagi tidak mengambil suntikan vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas selesai menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19 di Hospital Shah Alam di sini semalam.

Pada masa sama, Amirudin berkata Kerajaan Negeri menggalakkan peniaga dan pengunjung bazar Ramadan menggunakan perkhidmatan pembayaran dalam talian serta e-dompet bagi mengurangkan kontak hubungan sewaktu urusan jual beli.

Menurutnya, inisiatif e-Dapur dan e-Bazar Raya juga akan diteruskan tahun ini bagi membantu peniaga makanan dan minuman memasarkan produk secara maya selain bersaing di pasaran digital.

Pada Selasa, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran operasi bazar Ramadan dan Aidilfitri di seluruh negara tahun ini dengan SOP ketat.


Pengarang :