Keadaan khemah sekatan jalan raya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang yang rosak dilanda ribut pada 6 Mac 2021. Foto Polis IPD Sepang
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB lawat mangsa ribut Bandar Baru Salak Tinggi petang ini

SHAH ALAM, 8 MAC: Dato’ Menteri Besar dijadual melawat mangsa ribut di Balai Raya Taman Seroja, Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) Sepang hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari akan melawat kawasan bencana Taman Seroja BBST pada jam 2.30 petang.

Beliau akan diiringi pegawai daerah Sepang Mohamad Zain A Hamid dan yang dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) Dato’ Abd Hamid Hussain.

Dalam lawatan itu, Amirudin akan diberikan taklimat berhubung situasi ribut dan perkembangan terkini penduduk yang ditempatkan di balai raya tersebut.

Terdahulu, lebih 100 rumah di BBST zon utara dan zon salak rosak selepas dilanda ribut akibat hujan lebat yang berlaku kira-kira jam 5 petang kelmarin.

Kawasan perumahan terjejas adalah Taman Seroja dengan 17 rumah, Taman Dahlia (19), Aparment Casa Dahlia (28), Taman Mawar Perdana selain Kampung Salak Tengah (7) dan Kampung Baru Pekan Salak (20).

Turut mengalami kerosakan adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Seroja, SK Salak, SK KLIA dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Salak Tinggi.

Difahamkan, kejadian itu pertama kali berlaku melibatkan taman perumahan di BBST selain
disifatkan sebagai terburuk.


Pengarang :