AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Pertambahan penduduk beri kesan kadar penggunaan air

SHAH ALAM, 16 MAC: Penghijrahan saban tahun penduduk dari negeri lain memberi kesan kepada kadar penggunaan air di Selangor, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pertambahan penduduk termasuk warga asing didorong kemudahan asas yang baik, kepesatan pembangunan serta perindustrian.

“Negeri ini menerima penghijrahan penduduk sejak 1970-an sampailah sekarang, sama ada untuk mencari kerja atau belajar di institut pengajian tinggi.

“Peningkatan pembangunan berkali ganda memberi cabaran kepada Kerajaan Negeri untuk memastikan bekalan air sentiasa dalam keadaan sempurna,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) di Hotel Intercontinental Kuala Lumpur hari ini.

Kedua-dua syarikat akan membangunkan loji air pulih guna untuk kegunaan industri di Setia Alam yang mampu mengeluarkan lapan juta liter sehari, Seksyen 23 Shah Alam (40 juta liter) dan Pantai Dalam, Kuala Lumpur (100 juta).

Usaha sama tersebut membantu Kerajaan Negeri dan kerajaan persekutuan mengasingkan bekalan air untuk sektor domestik dan industri untuk jangka masa panjang.

Mengulas lanjut beliau berkata Kerajaan Negeri juga perlu memastikan pengurusan sampah berjalan dengan baik serta lebih banyak peluang ekonomi diwujudkan seiring dengan penghijran penduduk ke negeri ini.


Pengarang :