Peniaga Takoyaki Khalid Idris, 56, menyiapkan tempahan pelanggan di Pusat Penjaja Dataran Puchong Prima, Puchong pada 17 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB saran PBT permudah permohonan lesen niaga sementara

SHAH ALAM, 29 MAC: Dato’ Menteri Besar menyarankan pihak berkuasa tempatan (PBT) memudahkan permohonan lesen perniagaan sementara untuk membantu golongan terjejas akibat Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata PBT juga perlu menyediakan beberapa kawasan khusus untuk peniaga kecil serta jualan but kereta.

“Kebanyakan PBT di Selangor melibatkan kawasan bandar, jadi kita tidak mahu gerai dibuka secara tidak tersusun.

“Sekarang ramai mula berniaga, siapa sangka selepas 20 tahun bekerja tiba-tiba kena buang, PBT perlu bersama-sama Kerajaan Negeri membantu rakyat,” katanya sempena Sambutan Ulang Tahun Hijrah Selangor keenam di Perbadanan Perpusatakaan Awam Selangor (PPAS) hari ini.

Beliau berkata, kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama pada Mac tahun lepas masih terasa sehingga kini.

“Namun Kerajaan Negeri mengambil langkah segera untuk menampan kesan pendemik seperti melaksanakan skim Niaga Darul Ehsan (NaDi) dan Go Digital.

“Skim NaDi membantu mereka yang berhasrat atau baru memulakan perniagaan dengan tawaran pembiayaan antara RM 1,000 hingga RM 5,000 manakala Go Digital membantu ke arah digitalisasi menerusi pembelian alat telekomunikasi,” katanya.

Skim NaDI dan Go Digital masing-masing menyasarkan 3,000 penerima.


Pengarang :