AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB sedia menghadap Sultan dapatkan nasihat keperluan sidang DNS

SHAH ALAM, 14 MAC: Keperluan pembukaan sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) ketika proklamasi darurat ketika ini akan dibincang dalam mesyuarat EXCO berikutan terdapat isu semakan semula Belanjawan 2021.

Dato’ Menteri Besar berkata beliau juga akan menghadap Sultan Selangor bagi mendapatkan nasihat untuk tujuan itu selain Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj terlibat pada sesi pembukaan DNS.

“Pembukaan sepatutnya bulan ini namun boleh tangguh selagi darurat berlaku tetapi undang-undang boleh digubal.

“Jika ada keperluan Kerajaan Negeri boleh memanggil Ahli Dewan Negeri (ADN) untuk bersidang. Bagaimanapun akan dapatkan nasihat Sultan Sharafuddin sebelum serah kepada Yang di-Pertuan Agong,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Terdahulu beliau meninjau pangsapuri Blok 48, Seksyen 7 di sini yang mengalami masalah bumbung.

Amirudin berkata sekiranya sidang DNS tidak berjalan, pihaknya akan mengambil alternatif lain dengan memanggil semua ADN untuk sertai sesi soal jawab.

“Perkara ini akan berjalan secara rasmi atau tidak rasmi. Jadi melalui cara ini kita boleh mendengar pandangan mereka,” katanya.

Pada 12 Januari lalu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah membendung wabak Covid-19.

 


Pengarang :