Dato’ Seri Amirudin Shari selesai mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dos kedua di Hospital Shah Alam pada 18 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB: Selangor lulus peruntukan RM100 juta beli vaksin

SHAH ALAM, 19 MAC: Kerajaan Selangor meluluskan peruntukan kira-kira RM100 juta untuk pembelian vaksin bagi membantu mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata vaksin yang kini dalam proses kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dijangka diperoleh pada akhir Mei atau Jun depan.

“Memang kita berada di landasan betul ketika ini. (Jenis) vaksin itu sudah dimuktamadkan tetapi kena tunggu saya dapatkan dulu (sebelum diumum).

“Ia (vaksin) dalam kalangan lima vaksin yang dikenal pasti oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan sudah pasti kena tunggu kelulusan NPRA. Kelulusan itu akan menjadi kebenaran untuk digunakan,” kata Dato’ Menteri Besar tanpa mendedahkan lima jenis vaksin tersebut.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19 di Hospital Shah Alam di sini semalam.

Selain beliau, anggota Majlis Keselamatan Negeri antara 42 individu yang menerima suntikan dos kedua vaksin jenis Pfizer-BioNTech di hospital berkenaan.

Suntikan kedua itu diterima mereka genap 21 hari selepas disuntik dos pertama di hospital sama pada 25 Februari lalu seperti disyaratkan bagi penggunaan vaksin jenis itu.

Sebelum ini, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri akan membeli vaksin Covid-19 bagi mengawal penularan wabak selain mengurangkan beban Kerajaan Persekutuan.

Katanya langkah itu juga bagi memastikan bekalan vaksin mencukupi untuk penduduk Selangor sekali gus menjamin kesihatan rakyat.

 


Pengarang :