– Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan cenderamata kepada Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar selepas sidang media berkaitan mesyuarat badan bertindak program imunisasi Covid-19 peringkat Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 25 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB: Selangor teliti lima vaksin sebelum buat pembelian

SHAH ALAM, 25 MAC: Kerajaan Selangor sedang mengenal pasti lima vaksin ditempah Kerajaan Persekutuan sebelum membuat keputusan pembelian untuk kegunaan negeri ini.

Dato’ Menteri Besar berkata semua jenis vaksin berkenaan akan diteliti lebih lanjut bagi memudahkan proses perolehan serta suntikan.

“Bila masa sesuai kita akan dapat. Kita tak mahu urusan pembelian huru-hara, bercelaru dan tidak mengikut proses sepatutnya kerana akan ganggu keseluruhan rancangan keluar daripada pandemik ini.

“Setakat ini kita tak ada masalah (urusan pembelian vaksin) dan kerjasama dengan semua pihak juga baik dan jitu. Saya percaya kita akan dapat beli juga vaksin untuk cepatkan masalah pandemik ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media bersama Menteri Penyalaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin hari ini.

Amirudin berkata tindakan membeli vaksin kerana antaranya Selangor mempunyai ramai golongan pekerja dan industri besar.

“Kita ada 120 syarikat dengan tiga juta pekerja yang aktif. Ini memberi kesan kepada ekonomi dan pendapatan negara secara keseluruhan,” katanya.

Pada 18 Januari lalu, Kerajaan Selangor berhasrat membeli kira-kira lima juta dos vaksin Covid-19 bagi rakyat negeri itu dan usaha itu disambut baik Kerajaan Persekutuan serta Kementerian Kesihatan.

Amirudin pada minggu lalu turut mengumumkan kelulusan peruntukan kira-kira RM100 juta untuk pembelian vaksin bagi membantu mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.


Pengarang :