Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra serta menyerahkan kit penjagaan diri kepada pelajar selepas meninjau pembukaan semula sesi persekolahan 2021 di Sekolah Kebangsaan (SK) Gombak Setia, Gombak pada 1 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB tinjau pembukaan semula sekolah di Gombak Setia

GOMBAK, 1 MAC: Dato’ Menteri Besar mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Gombak Setia di sini bagi meninjau pembukaan semula sesi persekolahan yang bermula hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari yang tiba pada jam 12.30 tengah hari melewati laluan khas bertanda memasuki kawasan sekolah dan seterusnya ke dataran perhimpunan.

Beliau meluangkan masa selama 15 minit untuk mengedarkan kit penjagaan diri yang mengandungi pelitup muka guna semula dan cecair pembasmi kuman kepada murid tahun satu dan dua sebelum masuk ke kelas masing-masing.

Dalam kunjungan itu, Amirudin sempat beramah mesra dan menasihati pelajar supaya sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) serta menjaga keselamatan diri berikutan pandemik Covid-19 masih belum berakhir.

“Saya difahamkan murid prasekolah, tahun satu dan dua yang kembali memulakan sesi persekolahan hari ini sekitar 20 hingga 30 peratus daripada keseluruhan pelajar.

“Sekolah ini dibuka dua sesi iaitu pagi untuk murid prasekolah manakala tahun satu dan dua pada waktu petang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sekolah dibuka semula secara berperingkat mulai hari ini melibatkan murid prasekolah, tahun satu dan dua di sekolah rendah seluruh negara diikuti tahun tiga hingga enam bermula 8 Mac.

Sekolah menengah pula akan memulakan sesi persekolahan pada 4 April di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu manakala negeri lain pada 5 April.


Pengarang :