Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berucap ketika Majlis Menandatangani Memorandum Persetujuan (MoA) antara Nestle Malaysia Berhad dan KPT Recycle Sdn Bhd bagi memperluas khidmat kutipan bahan kitar semula di Dewan Sivik MBPJ pada 30 Mac 2021. Foto Facebook MBPJ
PBTSELANGOR

MBPJ perluas kemudahan kutipan bahan kitar semula

SHAH ALAM, 31 MAC: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperluas kemudahan kutipan bahan kitar semula di beberapa lagi bandar sejajar dengan matlamat membina masa depan bebas sisa.

Datuk bandarnya berkata penambahan itu meliputi Kota Damansara, Mutiara Damansara, Tropicana, Damansara Indah, Aman Suria dan Taman Bukit Mayang Emas yang akan memanfaatkan 11,800 isi rumah.

“Petaling Jaya adalah salah satu daripada kawasan dengan kepadatan penduduk tertinggi di Lembah Klang melebihi 770,000 penghuni dan secara purata menghasilkan 200,000 tan bahan sisa domestik sebulan.

“Jika tidak diurus dengan lestari, sisa buangan bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar tetapi memudaratkan kesihatan. Justeru, kita harap lebih ramai penduduk melibatkan diri dan menyokong aspirasi ini,” kata Dato’ Mohd Sayuthi Bakar.

Beliau berkata demikian sempena majlis menandatangani memorandum persetujuan (MoA) tiga pihak antara Nestle Malaysia Berhad (Nestle Malaysia) dan KPT Recycle Sdn Bhd (KPT Recycle) bagi perkhidmatan berkenaan di Dewan Sivik MBPJ semalam.

MoA tersebut ditandatangani Mohd Sayuthi bersama Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia Juan Aranols dan Pengarah KPT Recycle Lee Chay Chen sambil disaksikan EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han.

Beliau menambah projek tersebut juga dilaksana susulan kejayaan fasa pertama dilancar Oktober tahun lalu di Ara Damansara dan Bandar Sri Damansara sehingga memudahkan kira-kira 8,300 isi rumah.


Pengarang :