Pengunjung gerai Seksyen 9, Shah Alam mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka dan mengawal penjarakan fizikal sewaktu membuat pembelian ketika tinjauan pada 9 Januari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSA sedia 31 tapak bazar Ramadan, libat 1,100 peniaga

SHAH ALAM, 19 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menyediakan 31 tapak bazar Ramadan tahun ini dengan penyertaan seramai 1,100 peniaga.

Pemangku Datuk Bandar berkata pihaknya turut bercadang membuka tapak baharu bagi membantu lebih ramai peniaga meraih pendapatan sepanjang bulan tersebut.

“Sekarang semua permohonan sedang diproses dan dijangka selesai dalam dua minggu. MBSA sedaya upaya membantu peniaga menjana semula pendapatan susulan Covid-19.

“Jika ada keperluan buka tapak baharu, kita akan teliti,” kata Mohd Rashidi Ruslan menambah seramai 200 anggota penguat kuasa akan memantau operasi bazar.

Jelasnya, MBSA juga memberikan subsidi bernilai RM50 kepada pemegang permit bazar bagi mengurangkan beban pascawabak selain membenarkan karnival raya berlangsung sebelum Ramadan.

Mohd Rashidi berkata langkah itu membolehkan peniaga menghabiskan bekalan sedia ada berikutan tidak dapat menjual secara bersemuka tahun lalu.

 


Pengarang :