Bangunan Majlis Bandaraya Subang Jaya pada 20 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
RENCANA

MBSJ jawab isu hak niaga pasar malam Batu 13 Puchong

Merujuk kepada isu yang tular di media sosial berkaitan dengan sidang media Persatuan Peniaga Pasar Puchong memohon Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memberikan semula hak berniaga pasar malam di Batu 13, Puchong. Berikut adalah maklumbalas berkaitan isu tersebut,

Soalan 1: Siapakah Persatuan Peniaga Pasar Puchong?

Persatuan Peniaga Pasar Puchong adalah terdiri daripada peniaga yang dahulunya berniaga di Pasar Malam Puchong Batu 13, Puchong pada setiap hari Selasa, Khamis dan Ahad setiap minggu.

Pasar malam ini beroperasi di atas tanah milik dan di hadapan pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). Ia diuruskan sepenuhnya oleh pihak FAMA melalui Koperasi Pemasar FAMA Selangor Berhad (KOFAS).

Peniaga dikenakan sewa tapak melalui perjanjian yang dipersetujui bersama dan peniaga pasar ini dikawal selia oleh pihak KOFAS.

Pasar malam ini telah mendapat lesen perniagaan secara berkelompok daripada MBSJ di atas nama Koperasi Pemasar FAMA Selangor Berhad (KOFAS). Selepas aktiviti pasar malam ini dihentikan pada 2019, peniaga telah menubuhkan Persatuan Peniaga Pasar Puchong.

Soalan 2: Apakah punca isu ini?

Pihak FAMA telah mengeluarkan surat arahan untuk pengosongan tapak pasar malam kepada pihak KOFAS bertarikh 23 Julai 2019 iaitu bagi memberi laluan kepada projek pembinaan pembangunan perniagaan AgroMall, Puchong.

Justeru itu, pihak FAMA telah menawarkan penggantian tapak niaga baru yang terletak di SS 6, Kelana Jaya tetapi peniaga enggan berpindah. Pihak FAMA juga telah mempelawa pihak KOFAS untuk menguruskan kemasukan peniaga-peniaga Pasar Malam Batu 13, Puchong untuk berniaga di Dataran Niaga Puchong Permai pada waktu pagi sahaja atas persetujuan pihak MBSJ.

Pihak KOFAS juga telah menjalankan operasi di tapak pasar tersebut beberapa kali tetapi tidak mendapat sambutan daripada peniaga-peniaga sedia ada.

Sehubungan dengan itu, persatuan telah mengemukakan permohonan kepada MBSJ untuk memindahkan aktiviti pasar malam ini ke Dataran Niaga Puchong Permai.

Soalan 3: Kenapa permohonan berniaga di Dataran Niaga Puchong Permai ditolak oleh
MBSJ?

Pihak persatuan telah memohon kepada pihak MBSJ untuk menjalankan aktiviti pasar malam di Dataran Niaga Puchong Permai tiga (3) hari seminggu (Selasa, Khamis dan Ahad) yang dikelolakan sendiri oleh pihak persatuan.

Namun begitu, pihak Majlis telah menolak permohonan tersebut kerana mendapat bantahan daripada peniaga pasar malam di kawasan berhampiran seperti Pasar Malam Puchong Indah (Isnin), Pasar Malam Puchong Utama (Selasa) dan Pasar Malam Puchong Prima (Sabtu) yang
mendakwa akan menjejaskan aktiviti perniagaan mereka.

Majlis juga turut menolak untuk aktiviti perniagaan pasar malam ini dikendalikan sendiri oleh pihak persatuan memandangkan semua pasar malam di kawasan pentadbiran MBSJ diurus sepenuhnya oleh MBSJ.

Soalan 4 : Rundingan dan rayuan secara lisan mahupun melalui surat daripada peniaga tidak
mendapat maklumbalas yang sewajarnya daripada pihak MBSJ.

Pihak Majlis telah mengadakan beberapa sesi perbincangan dengan pihak FAMA dan persatuan bermula 2019 sehingga kini. Banyak persoalan yang dibangkitkan dan keputusan Majlis telah dimaklumkan sewaktu perbincangan tersebut.

Beberapa maklumbalas juga telah dikeluarkan kepada pihak FAMA, Persatuan dan Kerajaan Negeri sepanjang tempoh tersebut.

Berdasarkan rundingan bersama pihak persatuan pada 5 Mac 2021, pihak Majlis telah bersetuju mempertimbangkan aktiviti pasar malam boleh dijalankan di Dataran Niaga Puchong Permai seperti syarat berikut :-

• Aktiviti pasar malam hanya dibenarkan dijalankan pada hari Selasa setiap minggu.
• Peniaga perlu melalui proses temuduga berdasarkan prosedur sedia ada memandangkan peniaga tidak berdaftar dengan MBSJ.
• Pasar malam tersebut diuruskan oleh MBSJ.
• Hanya peniaga hari selasa yang tersenarai dalam senarai asal KOFAS sahaja yang boleh dipertimbangkan.
• Hanya peniaga yang layak (mengikut syarat-syarat permohonan lesen pasar malam MBSJ yang boleh dipertimbangkan.

10 Mac 2021 (Rabu) yang lalu pihak Majlis telah mengadakan sesi temuduga terhadap peniaga-peniaga tersebut bagi memberi peluang untuk berniaga di Dataran Niaga Puchong Permai dan seramai 32 orang peniaga hadir temuduga tersebut.

Untuk makluman, pihak Majlis telah menerima seramai 83 orang peniaga yang disenaraikan oleh pihak persatuan pada 4 Mac 2021. Walau bagaimanapun, hanya 66 peniaga sahaja daripada senarai tersebut merupakan peniaga asal pasar malam Puchong Batu 13 berdasarkan semakan dengan pihak KOFAS.

Hasil semakan juga, mendapati terdapat 49 orang peniaga telah mempunyai lesen Pasar Malam MBSJ di lokasi yang lain dan 34 orang peniaga tiada lesen perniagaan dari MBSJ.

Peniaga yang berjaya boleh memulakan aktiviti perniagaan bermula 23 Mac 2021 (Selasa).

 

Soalan 5 : Benarkah peniaga pasar malam Puchong Batu 13 merupakan penduduk Puchong?

Hasil semakan mendapati bahawa daripada 32 orang peniaga yang hadir pada sesi temuduga, 16 orang peniaga adalah penduduk di luar kawasan MBSJ seperti di Shah Alam, Klang, Sepang, Ampang dan Kuala Selangor, Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selayang, Sungai Buloh, Kajang dan Kuala Lumpur.

 

Soalan 6 : Apakah tindakan pihak Majlis bagi membantu peniaga pasar malam yang rata-ratanya adalah golongan B40?

Pihak Majlis komited membantu peniaga pasar malam yang rata-ratanya adalah golongan B40. Pihak Majlis telah menyediakan 20 lokasi pasar malam yang telah memberi peluang perniagaan kepada 2415 orang peniaga.

Kesemua 20 lokasi pasar malam diuruskan sendiri oleh pihak Majlis bagi mengelakkan mana-mana pihak mengambil kesempatan terhadap peniaga.

Untuk makluman, kadar sewaan tapak pasar malam di kawasan pentadbiran MBSJ adalah paling rendah berbanding pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lain di Selangor.


Pengarang :