Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ng Sze Han (tiga, kanan) melihat barangan kitar semula yang ditimbang selepas merasmikan Pusat Kitar Semula KDEB Waste Management di Bukit Puchong, Puchong pada 29 Mac 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSJ sasar kutipan kitar semula meningkat 20 peratus

PUCHONG, 29 MAC: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menyasarkan kutipan kitar semula meningkat kepada 20 peratus tahun ini berbanding 18 peratus tahun lalu.

Datuk Bandarnya berkata beberapa langkah akan dilakukan untuk mencapai sasaran termasuk melibatkan penyertaan penduduk di kawasan taman perumahan dan kediaman berstrata.

“Buat masa ini sebanyak tujuh kawasan menjalankan pengasingan sisa kitar semula secara sukarela melibatkan penyertaan 3,000 isi rumah.

“Manakala, tahun ini pula kita sasarkan untuk menambahkan angka itu kepada dua kali ganda,” kata Noraini Roslan.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Pusat Kitar Semula KDEBWM di Bandar Bukit Puchong di sini.

Turut hadir, EXCO Kerajaan Tempatan, Ng Sze Han, Ahli Dewan Negeri Seri Setia, Halimey Abu Bakar dan Pengarah Urusan KDEB Waste Management, Ramli Mohd Tahir.

Noraini berkata pihaknya akan memberi insentif kepada pihak pengurusan sebagai galakan penghuni rumah strata terlibat sama dalam pengasingan sisa sampah itu.

“Jika sambutan baik, kita akan mula wajibkan pengasingan sisa pepejal di rumah strata.

“Inisiatif pengasingan sisa pepejal di punca ini bukan hanya perlu diambil perhatian oleh penghuni rumah kediaman sahaja, sebaliknya kepada peniaga serta industri,” katanya.

 

 


Pengarang :