Yang Dipertua MDHS Dr Mohd Azhar Mohamed Ali (tengah) memotong kek sempena sambutan Hari Wanita 2021 peringkat MDHS pada 8 Mac 2021. Foto Facebook Korporat MDHS
PBTSELANGOR

MDHS sambut Hari Wanita, hargai peranan kakitangan

SHAH ALAM, 8 MAC: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menganjurkan sambutan Hari Wanita bagi menghargai peranan kakitangan wanita yang menjadi tulang belakang pentadbiran.

Yang dipertua berkata sambutan diselaras Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE) mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

“Sambutan ini diharap dapat memberi inspirasi kepada golongan wanita yang menjadi penyumbang kepada kecemerlangan MDHS sehingga dikenali bukan sahaja peringkat negeri mahupun negara tetapi antarabangsa.

“Sambutan ini juga dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keupayaan wanita dalam pembentukan keluarga, perpaduan dan pembangunan masyarakat,” kata Dr Mohd Azhar Mohamed Ali dalam kenyataan.

Beliau berharap kakitangan wanita MDHS dapat memainkan peranan sama penting dengan lelaki supaya dapat memberi perkhidmatan perbandaran terbaik kepada rakyat.

“Saya menyeru kakitangan wanita sentiasa memperbaiki diri dengan meningkatkan ilmu dan kemahiran diri,” katanya sambil menambah ANULAE menyediakan cenderamata kepada kakitangan wanita.


Pengarang :