Pengunjung mengamalkan norma baharu operasi pasar malam pada 22 Jun 2020. Foto Facebook Bahagian Korporat Majlis Daerah Hulu Selangor
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MDHS sedia 790 petak bazar Ramadan, babit 10 lokasi

SHAH ALAM, 13 MAC: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menyediakan 790 petak bazar Ramadan kepada peniaga di 10 lokasi tahun ini.

Bahagian korporatnya berkata lokasi membabitkan tapak penjaja JRD, Liga Mas Batang Kali (140); tapak pasar pagi Taman Seri, Batang Kali (70); Taman Cempaka, Serendah (50) dan sebelah medan selera, Sungai Buaya (40).

“Sebanyak 200 petak disediakan di tapak pasar malam, Bukit Sentosa; Jalan Seroja (100); Jalan Telipot (40); Antara Gapi, Serendah (60); Jalan Samudera 1, Hulu Bernam (40) dan Jalan Kantan, Bukit Beruntung (50),” katanya di Facebook.

Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan sistem penggiliran akan dilaksanakan terhadap peniaga sebagai mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengelak penularan Covid-19.

“Peniaga yang mendapat tapak nombor lot ganjil akan berniaga pada tarikh ganjil sepanjang Ramadan manakala peniaga yang mendapat tapak nombor lot genap adalah sebaliknya,” katanya.

Permohonan tapak bazar secara dalam talian di portal MDHS boleh dibuat bermula 15 hingga 28 Mac ini dan setiap peniaga dihadkan satu petak dengan harga RM100.

Pemohon yang berjaya akan dimaklumkan melalui sistem pesanan ringkas SMS pada 2 April.

Maklumat lanjut, layari www.mdhs.gov.my atau hubungi Jabatan Pelesenan di talian 03-6064 1331 (sambungan 131/132/159).


Pengarang :