PBTSELANGOR

MDKS tambah enam lokasi baharu bazar Ramadan, dua bazar Raya

SHAH ALAM, 31 MAC: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) menambah enam lokasi baharu bazar Ramadan dan dua bazar Raya bagi memenuhi permintaan penduduk setempat menjalankan perniagaan.

Pertambahan itu menjadikan jumlah lokasi bazar Ramadan disediakan pihak berkuasa tempatan tersebut adalah 14 membabitkan 289 petak dan 10 lokasi bazar Raya dengan 345 petak.

“Lokasi baharu bazar Ramadan terletak di hadapan Pasaraya Tesco, Kuala Selangor membabitkan 30 petak; hadapan Pasaraya Sakan, Tanjong Karang (60); Fasa 2, Naluri Sukma dan Fasa 3, Astana Alam, Puncak Alam masing-masing 40 petak; hadapan Pasar Awam Sungai Buloh (10) serta eKitchen Dewan Bandar Baru, Kuala Selangor (20).

“Sebanyak 110 petak lokasi baharu bazar Raya disediakan iaitu 60 daripadanya berhadapan Pasaraya Sakan, Tanjong Karang manakala baki di tapak Pasar Pagi Sungai Buloh,” katanya di Facebook.

Menurut MDKS, keutamaan diberi kepada penjaja berlesen di tapak sedia ada, pemohon bebas daripada sebarang kompaun MDKS dan mendaftar dengan aplikasi Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) jika lulus permohonan.

“Peniaga yang berjaya diingatkan untuk sentiasa menjaga tatacara operasi piawai (SOP) Covid-19 dan sekiranya ingkar, permit perniagaan akan dibatalkan serta-merta,” katanya.

Permohonan kedua-dua bazar dibuka bermula semalam sehingga 2 April melalui sistem dalam talian https://iservices.mdks.gov.my.


Pengarang :